120 bayi inkubator berisiko Israel potong bahan api Gaza, kata PBB


Konvoi bantuan kemanusiaan yang tiba di Gaza membawa bersama peralatan menyelamat termasuk ubat-ubatan, bekalan makanan dan air botol. – Gambar X Unicef Palestine, 22 Oktober, 2023.

NYAWA sekurang-kurangnya 120 bayi yang baru lahir di dalam inkubator di hospital Gaza yang dilanda perang berada dalam keadaan berisiko apabila kehabisan bahan api di kawasan yang dikepung, menurut agensi kanak-kanak Pertubuhan Bangsa Bangsa (PBB) yang memberi amaran hari ini.

Lebih 1,750 kanak-kanak terbunuh akibat serangan Israel yang dilancarkan terhadap Semenanjung Gaza sebagai tindakan balas terhadap serangan Hamas pada 7 Oktober lalu, menurut kementerian kesihatan wilayah Palestin.

Hospital menghadapi kekurangan ubat-ubatan, bahan api dan air bukan sahaja untuk ribuan individu yang cedera dalam lebih dua minggu perang antara pejuang Gaza dan Israel tetapi juga untuk pesakit rutin.

Jurucakap Unicef, Jonathan Crickx berkata, pada masa ini pihaknya mempunyai 120 neonat yang berada dalam inkubator iaitu 70 neonat dengan pengudaraan mekanikal dan ia mencetus kebimbangan.

Punca kuasa adalah salah satu kebimbangan utama bagi tujuh wad pakar di seluruh Gaza yang merawat bayi pramatang untuk membantu pernafasan dan memberikan sokongan kritikal, contohnya apabila organ mereka tidak cukup berkembang.

Israel mengarahkan sekatan sepenuhnya ke atas wilayah itu selepas serangan yang dilakukan.

Di tengah pemotongan elektrik, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran hospital sudah kehabisan bahan api untuk dijana.

WHO berkata, kira-kira 1,000 orang yang memerlukan dialisis juga akan berisiko jika penjana berhenti.

Sebanyak 20 trak bantuan menyeberang dari Mesir ke Gaza semalam tetapi tiada bantuan untuk bahan api.

Israel bimbang bahan api boleh membantu Hamas, walaupun bekalan terhad di Gaza dialihkan untuk memastikan penjana peralatan perubatan berfungsi.

“Jika mereka (bayi) dimasukkan ke dalam inkubator pengudaraan mekanikal, mengikut definisi, jika anda memotong elektrik, kami bimbang mengenai kehidupan mereka,” kata jurucakap UNICEF kepada AFP.

Kementerian kesihatan Gaza berkata terdapat 130 bayi pramatang berada dalam bahaya untuk meninggal dunia kerana kekurangan bahan api. – AFP, 22 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen