LHDN beri amaran individu, syarikat culas bayar cukai


Lembaga Hasil Dalam Negeri memberi amaran kepada individu dan syarikat yang culas bayar cukai bahawa mereka sedang diperhatikan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 April, 2024.

LEMBAGA Hasil Dalam Negeri (LHDN) memberi amaran kepada individu dan syarikat yang culas bayar cukai bahawa mereka sedang diperhatikan. 

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Dr Abu Tariq Jamaluddin berkata lembaga itu sentiasa memantau datanya untuk mengenal pasti pesalah bukan pembayar cukai.

Tambahnya, LHDN boleh mengambil tindakan tegas termasuk melakukan penggeledahan di premis.

“Dengan syarikat, ia sentiasa sama…tetapi kami mempunyai kaedah untuk menentukan yang mana antara mereka tidak membayar cukai.

“Kami menerima maklumat daripada pelbagai sumber dan menganalisisnya sepanjang tahun untuk menentukan kes yang memerlukan pengauditan dan kes yang memerlukan siasatan.

“Ini sebenarnya usaha berterusan, tetapi kami meningkatkan permainan tahun ini untuk mengenal pasti syarikat yang tidak membayar cukai,” katanya, seperti dilaporkan The Star hari ini.

Tambahnya, LHDN akan mengambil tindakan terhadap mereka yang mengelak daripada membayar cukai.

“Dalam sesetengah kes, carian (di premis) diperlukan, tetapi dalam kes berisiko rendah, audit adalah memadai.

“Jadi untuk kes yang lebih serius, ya, kemungkinan ia akan melibatkan pencarian,” katanya.

Bulan lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberitahu LHDN supaya tegas dan berani memburu pembayar cukai yang ingkar tanpa mengira kedudukan, pangkat dan kekayaan mereka.

Tahun lalu, LHDN mencatatkan kutipan cukai RM183.3 bilion, meningkat RM7.8 bilion daripada tahun sebelumnya.

Lembaga telah melanjutkan tarikh akhir bagi pembayar cukai bukan perniagaan untuk menyerahkan Borang Nyata Cukai mereka bagi Tahun Taksiran 2023 melalui e-Filing dari 30 April hingga 15 Mei.

Ia menasihatkan pembayar cukai supaya menyerahkan borang nyata cukai dan membayar cukai pendapatan mereka dalam tempoh yang ditetapkan bagi mengelak sebarang penalti bagi kelewatan menghantar borang dan sebarang kenaikan bagi pembayaran lewat. – 30 April, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen