Shafee perlu bayar RM5.5 juta tunggakan cukai pendapatan kepada LHDN


Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur perintah peguam Muhammad Shafee Abdullah membayar tunggakan cukai pendapatan lebih RM5.5 juta kepada LHDN. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Disember, 2023.

PEGUAM Muhammad Shafee Abdullah diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini supaya membayar tunggakan cukai pendapatan lebih RM5.5 juta kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain memutuskan demikian selepas Peguam Kanan Hasil Norhisham Ahmad memberitahu mahkamah jumlah akhir yang perlu dibayar Shafee ialah RM5,529,577.70.

“Pihak kami juga memohon kos RM10,000,” kata Norhisham yang turut dibantu Peguam Kanan Hasil Muhammad Faqrol Syazreen Mohd Ghause.

Bagaimanapun, peguam Muhammad Farhan Muhammmad Shafee, yang mewakili bapanya selaku defendan memohon kos RM5,000.

Roz Mawar kemudian membenarkan kos RM10,000 kerana jumlah tersebut adalah munasabah.

Sementara itu, Farhan memberitahu mahkamah pihaknya akan mendapatkan arahan daripada anak guam sama ada akan merayu terhadap keputusan hari ini.

Pada 15 Disember lepas, mahkamah sama membenarkan permohonan LHDN untuk memasukkan penghakiman terus terhadap peguam itu.

Penghakiman terus ialah apabila mahkamah memutuskan kes melalui afidavit dan hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan.

Pada 28 September, 2021 LHDN memohon agar samannya terhadap Shafee, yang difailkan pada 6 Mei, 2021 diputuskan melalui penghakiman terus atas alasan defendan gagal membayar tunggakan cukai pendapatan berjumlah RM9,414,708.32 dalam tempoh ditetapkan.

LHDN mendakwa peguam itu gagal membayar jumlah cukai pendapatan yang terhutang bagi Tahun-Tahun Taksiran 2011, 2012, 2013, 2014 dan 2016 termasuk kenaikan ke atas jumlah yang dikenakan.

Pada 28 Oktober, 2022 Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Shafee daripada dua pertuduhan menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM9.5 juta daripada bekas perdana menteri Najib Razak dan dua pertuduhan membuat penyata yang tidak betul kepada LHDN.

Pihak pendakwaan yang merayu terhadap keputusan mahkamah itu bagaimanapun menarik balik rayuan berkenaan pada 5 Disember lepas. Ini menyebabkan pembebasan Shafee dalam keempat-empat kes itu kekal. – Bernama, 21 Disember, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen