Peruntukan pembangunan lebih tinggi untuk Sabah dan Sarawak dalam Belanjawan 2024


PERDANA Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan penambahan peruntukan untuk Sabah dan Sarawak di bawah Belanjawan 2024.

Anwar yang juga menteri kewangan berkata peruntukan persekutuan untuk pembangunan di Sarawak meningkat kepada RM5.8 bilion berbanding RM5.6 bilion ringgit.

Manakala bagi pembangunan di Sabah pula meningkat kepada RM6.6 bilion berbanding RM6.5 bilion sebelum ini.

Anwar juga berkata kerajaan juga akan menambah peruntukan khas sementara bagi kedua-dua negeri Borneo itu.

“Kerajaan akan meningkatkan kadar peruntukan khas sementara bagi Sarawak dan Sabah kepada RM300 juta berbanding RM16 juta bagi Sarawak dan RM125.6 juta bagi Sabah sebelum ini.

“Kali terakhir kajian semula peruntukan khas untuk Sarawak dan Sabah dijalankan pada 1969 dan 2022,” katanya.

Beliau juga mengumumkan Rang Undang-Undang Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) (Pindaan) 2023 diluluskan di Dewan Rakyat semalam untuk membolehkan ketua menteri Sabah dan premier Sarawak menganggotai lembaga itu.

Ini adalah hasil daripada Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1963.

Beliau seterusnya berkata kerajaan pusat bersama kerajaan negeri Sabah mencapai persetujuan mengenai pemindahan kawalan kawal selia bekalan elektrik yang akan berkuat kuasa pada 3 Januari 2024. – 13 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen