Pemilik KK Mart, isteri bakal kemuka representasi


PENGASAS dan Pengerusi Eksekutif KK Supermart & Superstore Sdn Bhd Chai Kee Kan dan isterinya, Loh Siew Mui, akan mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara berhubung pertuduhan sengaja melukakan perasaan orang Islam.

Peguam Rajpal Singh, yang mewakili Chai, 57, dan Loh, 53, memaklumkan Mahkamah Sesyen beliau akan memfailkan representasi itu, selepas meneliti dokumen diperoleh daripada pihak pendakwaan hari ini.

“Kami meminta tarikh sebutan ditetapkan kerana pihak pembelaan akan memfailkan representasi,” katanya ketika kes dibawa ke hadapan Hakim Anas Mahadzir, lapor Bernama.

Pada 26 Mac, Chai dan Loh, sebagai pengarah syarikat, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja melukakan perasaan orang Islam berhubung penjualan stokin yang tertulis kalimah “Allah”, seperti dilihat oleh seorang pelanggan berusia 32 tahun.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di cawangan KK Mart mereka di Bandar Sunway, pada 13 Mac jam 6.30 pagi.

Pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Khairul Azreem Mamat berkata pihak pendakwaan akan memberikan pihak pembelaan dokumen berkaitan kes hari ini, selain meminta pasangan itu dibicarakan bersama pengarah syarikat pengedaran Xin Jian Chang Sdn Bhd.

“Pihak pendakwaan meminta kes ini dibicarakan bersama, mengikut Seksyen 170 Kanun Tatacara Jenayah, dan saya percaya pihak pembelaan tidak membantah.

“Pihak pendakwaan juga meminta tarikh perbicaraan ditetapkan,” katanya, yang disahkan oleh peguambela.

Mahkamah kemudian menetapkan 10 Jun ini untuk pengurusan kes bagi mengetahui status representasi.

Turut hadir pada prosiding hari ini ialah peguam Lau Yi Leong yang mewakili Soh Chin Huat, isterinya, Goh Li Huay, dan anak perempuan mereka, Hui San, yang merupakan pengarah Xin Jian Chang Sdn Bhd.

Soh, 61; Goh, 62; dan Hui San, 36, didakwa bersubahat dengan sengaja melukakan perasaan orang Islam dalam isu stokin tertulis kalimah “Allah”, di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 298 undang-undang yang sama, memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Di luar mahkamah, Rajpal berkata pihak pembelaan akan mengemukakan representasi tidak lama lagi tetapi masih belum memutuskan sama ada ia akan menarik balik pertuduhan atau meminta pertuduhan alternatif. – 29 April, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen