AKTIVIS Kua Kia Soong mendakwa polis bertindak pilih kasih kerana masih gagal menangkap individu bertanggungjawab di sebalik serangan ke atas KK Mart.
Bekas ahli Parlimen itu mendakwa polis hanya bertindak dengan cekap dalam kes seperti tangkapan ke atas lelaki Israel minggu lalu.
Pada masa sama beliau juga membangkitkan tindakan polis menembak mati lima individu minggu lalu.
Beliau juga menyifatkan ia sebagai “selective efficiency” oleh pihak polis dan berkata ia amat membimbangkan.
“Di satu pihak, mereka dilihat sangat cekap menangkap individu yang didakwa sebagai ‘penjenayah antarabangsa’ seperti lelaki Israel yang ditahan kerana memiliki senjata, pada masa sama mereka gagal menangkap pengebom kedai KK Mart atau mencari rakyat Malaysia yang hilang, ia membingungkan,” katanya.
“Jika polis Malaysia tidak dapat tangkap pelaku yang meletupkan kedai KK Mart, kita perlu risau, terutama mengenai aspek memastikan undang-undang dan ketenteraman di negara ini,” tambahnya.
Kua juga berkata polis juga tidak cukup efisien dalam mencari rakyat Malaysia yang hilang, dengan menjadikan contoh bekas suami M Indira Gandhi yang melarikan diri dengan anak mereka, atau kes aktivis hilang seperti Pastor Raymond Koh, Amri Che Mat dan lain-lain yang hilang sejak 2017.
Lelaki Israel yang dirujuk oleh Kua adalah Shalom Avitan, berusia 36 tahun, yang ditangkap di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 27 Mac dengan membawa enam senjata api dan 200 butir peluru.
The Times of Israel melaporkan pada Sabtu yang Avitan adalah rakan kongsi sindiket jenayah Israel dan dalam perjalanan untuk membunuh seorang ahli sindiket jenayah lain.
Polis Malaysia juga mengesahkan Avitan memberitahu pihak berkuasa yang dia mencari seorang lagi lelaki Israel di sini, tetapi polis ragu-ragu dan tidak menolak kemungkinan suspek itu mungkin mempunyai rancangan lain.
Selain Avitan, seorang pasangan warga Malaysia juga ditangkap kerana membekalkan senjata kepadanya manakala seorang penduduk tempatan lagi ditahan kerana bertindak sebagai pemandu Avitan.
Avitan ditahan sehingga 7 April dengan kesalahan pemerdagangan senjata api secara haram, yang membawa hukuman termasuk sebatan, penjara seumur hidup atau hukuman mati.
Sementara itu, bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang P Ramasamy menyeru siasatan awam mengenai insiden tembakan lima individu di Putra Heights.
Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata lima individu itu didakwa terlibat dalam lebih 50 rompakan di Lembah Klang.
Polis berkata lelaki dalam sebuah kereta berkelakuan mencurigakan sebelum diminta berhenti. Tetapi malangnya lelaki tersebut melepaskan tembakan ke arah polis dan ketika berbalas tembakan, polis berjaya menembak mati semua mereka.
“Apa yang dikatakan polis mungkin benar, mereka yang ditembak mati mungkin mempunyai rekod jenayah polis yang meluas, berkaitan dengan ahli gang lain dalam rompakan dan ugutan serta lain-lain.
“Bagaimanapun, orang awam perlu tahu siapa individu ini, latar belakang mereka, dari mana mereka berasal dan paling penting apa jenayah mereka.
“Jika jenayah mereka besar maka orang awam berhak untuk mengetahui tentang jenayah ini.
“Saya tidak mempersoalkan polis, tetapi polis perlu telus tentang perkara berkaitan hidup dan mati,” kata Ramasamy yang kini memimpin parti politik India Urimai.
Katanya terlalu banyak kes tembak yang bergantung pada versi polis tentang apa yang berlaku.
“Selain akaun polis, tidak patutkah ada penyiasatan oleh jabatan berkaitan mengenai apa yang sebenarnya berlaku pada malam 29 Mac itu,” tambahnya. – 3 April, 2024.
Komen