Suspek kes tembak KLIA didakwa dengan 7 pertuduhan


Suspek kes melepaskan tembakan di Terminal 1 KLIA, Sepang baru-baru ini, Hafizul Hawari, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini atas tujuh pertuduhan termasuk memiliki senjata api. – 24 April, 2024.

SEORANG pengurus syarikat pelancongan yang juga suspek kes melepaskan tembakan di Terminal 1 Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) Sepang baru-baru ini didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini atas tujuh pertuduhan termasuk memiliki senjata api.

Menurut laporan Berita Harian, tertuduh, Hafizul Hawari, 38, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad.

Mengikut pertuduhan pertama, Hafizul didakwa memiliki pistol Glock 19 Austria, Made in Turkey yang menyalahi undang-undang mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 [Akta 37] yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 14 tahun dan sebat minimum enam kali. 

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memiliki 33 butir peluru PMC 380 AUTO tanpa lesen sah mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 [Akta 206] boleh dihukum di bawah Seksyen 8 akta sama yang boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya.

Pertuduhan ketiga pula, lelaki itu didakwa memiliki satu bungkusan plastik cerah mengandungi mercun bola tanpa permit mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan boleh dihukum di bawah akta yang sama yang boleh dipenjara hingga tujuh tahun atau denda sebanyak RM10,000 atau kedua-duanya.

Ketiga-tiga pertuduhan ini dilakukan dalam sebuah kereta Jenis Honda Civic di perkarangan KPJ Perdana Specialist Hospital, Kota Bharu, 2 petang, pada 15 April lalu.

Manakala bagi pertuduhan keempat hingga keenam, Hafizul didakwa memiliki tiga keping kad pengenalan milik tiga individu lain yang menjadi kesalahan per 25(1)(o) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang boleh dipenjara tidak lebih tiga tahun atau dengan denda hingga RM20,000 atau kedua-duanya.

Pertuduhan ketujuh pula dia didakwa memandu kereta jenis Honda Civic, warna Putih yang menggunakan nombor pendaftaran palsu mengikut Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan dihukum di bawah akta sama.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Faiz Fitri Mohamad dan Siti Edabayu Subhan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam, menurut laporan Berita Harian.

Mahkamah membenarkan tertuduh ditahan reman di Penjara Sungai Buloh dan menetapkan 23 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes. – 24 April, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen