Malaysia Airports catat 9.6 juta pergerakan penumpang pada November


MAHB berkata pergerakan penumpang di rangkaian lapangan terbang dipacu oleh sektor antarabangsa, yang mencatatkan 4.9 juta penumpang dan mengekalkan kadar pemulihan bulanan melebihi 89.5% berbanding paras 2019 sejak Julai 2023. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Disember, 2023.

RANGKAIAN lapangan terbang Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mencatatkan 9.6 juta pergerakan penumpang pada November 2023, iaitu mencecah 83.3% berbanding paras sebelum pandemik.

Pengendali lapangan terbang itu berkata pergerakan penumpang di rangkaian lapangan terbang dipacu oleh sektor antarabangsa, yang mencatatkan 4.9 juta penumpang dan mengekalkan kadar pemulihan bulanan melebihi 89.5% berbanding paras 2019 sejak Julai 2023.

Sementara itu, sektor domestik mengekori dengan mencatatkan 4.6 juta pergerakan penumpang, mencecah 77.6% daripada paras 2019, sebahagiannya disebabkan oleh pengembangan syarikat penerbangan ke sektor antarabangsa dan penurunan yang tidak dijangka dalam kapasiti domestik mulai pertengahan Oktober, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Ia berkata sektor antarabangsa dan domestik masing-masing menyumbang 52% dan 48% bahagian pasaran walaupun trafik masih dalam pemulihan.

“Pergerakan penumpang antarabangsa dan domestik mencatatkan 3.4 juta dan 3.2 juta penumpang, masing-masing meningkat 51.8% dan 8.8% berbanding November 2022,” katanya.

MAHB berkata pertumbuhan trafik yang berterusan pada November sebahagiannya disebabkan pelancaran empat perkhidmatan baharu dari KLIA ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan empat penerbangan mingguan oleh Batik Air Malaysia, Raja Sansi dan Thiruvananthapuram dengan penerbangan dua kali seminggu oleh Malaysia Airlines.

Ia berkata Firefly memulakan lima penerbangan mingguan ke Don Mueang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

Sementara itu, pengendali lapangan terbang itu berkata Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (SGIA) merekodkan hampir tiga juta pergerakan penumpang pada November 2023, mengatasi 2019 pada 3.5%.

“Pergerakan penumpang antarabangsa dan domestik hampir sama dengan mencatatkan 1.5 juta dan 1.4 juta penumpang di tengah-tengah bukan tempoh kemuncak musim perjalanan dan penggantungan sementara tujuh penerbangan harian ke Tel Aviv,” katanya. – Bernama, 26 Disember, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen