SPRM cari ejen terlibat isu rasuah KLIA


SPRM sedang mencari orang tengah yang meminta rasuah daripada seorang pelancong China untuk dibenarkan masuk melalui KLIA, kata Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Julai, 2023.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mencari orang tengah yang meminta rasuah daripada seorang pelancong China untuk dibenarkan masuk ke Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), kata Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki.

Di dalam akhbar The Star Azam dilaporkan berkata individu berkenaan dipercayai bertindak sebagai ejen atau orang tengah kepada wanita warga China itu.

“Siasatan awal mendapati individu yang menerima RM18,000 untuk membawa masuk warga China itu melalui KLIA bukan warganegara Malaysia,” Azam dipetik sebagai berkata.

“Kami sudah mengenal pasti individu itu dan kami sedang menjejakinya,” tambahnya.

Azam juga berkata agensi itu tidak dapat memastikan sama ada ejen itu masih berada di negara ini atau sebaliknya.

“Kami memperoleh maklumat mengenai individu itu berdasarkan siasatan awal kami. Beri kami ruang untuk menyiasat perkara itu secara menyeluruh,” katanya.

SPRM sedang menyiasat dakwaan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Tiong King Sing bahawa rasuah berleluasa dalam kalangan kakitangan Imigresen di KLIA dan terdapat laporan rasuah dituntut daripada pelancong.

Menteri itu berkata terdapat penyalahgunaan melibatkan syarikat pihak ketiga yang ditugaskan untuk menguruskan pelawat Not To Land (NTL).

Beliau juga berkata seorang pelancong China diminta membayar RM18,000 untuk dibenarkan masuk ke Malaysia selepas dihentikan di KLIA.

Suruhanjaya itu sudah merekodkan kenyataan daripada 14 orang termasuk lapan pegawai Imigresen, dua warga asing, Tiong dan seorang pengarah syarikat.

Terdahulu Azam berkata SPRM akan menemu bual lebih ramai saksi dalam siasatan berterusan ke atas dakwaan amalan rasuah pegawai Imigresen di KLIA. – 9 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen