Maryam Pagi Ke Malam menang dua anugerah Festival Filem Asia ke-21


Pelakon filem Maryam Pagi ke Malam, Sofia Jane menerima anugerah Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Asia ke-21 di Rom, Itali. – Gambar Rhu Graha, 19 April, 2024.

FILEM Maryam Pagi ke Malam yang dihadkan tayangan di Malaysia memenangi dua anugerah di Festival Filem Asia ke-21 di Rom, Itali.

Filem arahan Badrul Hisham Ismail itu menang anugerah Filem Paling Asli manakala pelakon utamanya Sofia Jane menerima anugerah Pelakon Wanita Terbaik di festival berprestij itu.

Dalam satu kenyataannya, Badrul menyatakan rasa bangga dan kerana filem tersebut diberi penghargaan di luar negara walau tayangannya dihadkan di negara sendiri.

“Jadi ia sangat memberi semangat apabila diiktiraf dan diraikan di tempat lain,” katanya dalam satu rakaman video.

Sofea turut merakam penghargaan kepada festival dan para juri atas penghargaan ke atasnya yang melakonkan watak Maryam.

Filem itu mengisahkan Maryam, seorang wanita berusia 50 tahun yang berdepan halangan dari orang tua dan pelbagai pihak dalam usahanya untuk mengahwini seorang pemuda dari Sierra Leone.

Karya itu mendedahkan pelbagai cabaran birokrasi yang menghalang seorang wanita untuk menentukan haluan hidupnya.

Filem tulisan Faisal Tehrani itu dihasilkan dengan geran dari Penjaya Kreatif serta MyCreative Ventures dan diterbitkan Anomalous Films.

Ia turut menampilkan Susan Lankaster, Vanidah Imran, Roslan Madun, Azman Hassan, Pekin Ibrahim dan Bella Rahim.

Filem berkenaan juga satu-satunya wakil Malaysia ke International Film Festival Rotterdam (IFFR) 2023. – 19 April, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen