Pisau emas, sebatang pensil dan 100 tahun tambak Johor


Faisal Tehrani

Peta geologi Singapura yang dilukis dan dikeluarkan oleh Jabatan Ukur Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pada 1923. – 26 Disember, 2023.

MASUK tahun 2024 ini, Tambak Johor atau dipanggil orang Singapura sebagai ‘koswe’ akan berusia seratus tahun. Berkebetulan pula awal tahun hadapan kelak yang menaiki takhta sebagai Yang Dipertuan Agong adalah Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Maka mungkin kerajaan Johor bersekali dengan Kerajaan Persekutuan Malaysia dan Republik Singapura dapat memikirkan sesuatu semula mengenai Tambak sepanjang 1,056 meter yang menyeberangi Selat Johor dan menghubungkan bandar Johor Bahru di Malaysia dengan bandar Woodlands di Singapura.

Sebelum tahun 1924 mereka yang ingin ke Singapura atau yang di Singapura berhasrat masuk ke Johor Bahru akan menggunakan sampan, kolek, atau perahu. Pemandangan tongkang di selat yang sempit itu adalah perkara lumrah.

Ia mungkin satu pemandangan indah hari ini, tetapi ketika itu Inggeris sedang memunggah serta merompak kekayaan negara kita, dan untuk memudahkan urusan itu pentadbiran British memilih untuk membina landasan keretapi menghubungkan penempatan semula, lombong bijih dan juga ladang getah dengan pekan dan pelabuhan terhampir.

Hal pencemaran, keindahan dan juga kerosakan perasaan bangsa terjajah tidak ada dalam dokumennya.

Makanya Keretapi Tanah Melayu atau Federated Malay States Railways (FMSR) diasaskan pada 1906. Menjelang Oktober 1906, laluan keretapi ke Gemas, pekan kecil di perbatasan Negeri Sembilan-Johor berjaya dibina dan kemudian landasan dari Gemas ke Johor Bahru dibangunkan dan siap pada bulan Jun 1909. Ini semua untuk membolehkan Ratu di London melakukan rompakan dengan mudah.

Hujung abad ke-19 menyaksikan Singapura menjadi kaya serta merta ekoran kepesatan Malaya dengan sumber seperti getah dan bijih yang akan dibawa keluar menerusi Pelabuhan Singapura.

Johor Bahru bagaimanapun hanya beroleh tempias dari kapital pelaburan Inggeris dan saudagar Cina pada waktu itu.

Pada tahun 1874, Gabenor Inggeris Andrew Clarke dan terkemudian pada tahun 1889, Gabenor Cecil Clementi Smith membangkitkan kemungkinan menghubungkan Johor dan Singapura tanpa perlu menempuh perjalanan air.  

Sedekad seterusnya pada tahun 1899, Setiausaha Kolonial Negeri Selat James Alexander Swettenham sekali lagi mengemukakan cadangan di Mesyuarat Straits Settlements Legislative Council untuk membangunkan landasan keretapi merentasi Selat Johor. Saranan ini memerlukan wang besar tatkala itu.

Pun, wakil perniagaan masyarakat Cina Lim Boon Keng, dalam Singapore Legislative Council, meyakinkan British bahawa pulangan kekayaan dari pembinaan landasan Johor ke Singapura itu akan lebih dramatik lumayannya.

Justeru pada tahun 1900 Jabatan Kejuruteraan Kolonial mulai merangka kerja. Landasan utama di Jalan Tank Singapura dan Woodlands di Utara siap dihubungkan pada April 1903. Seterusnya usaha menyambung landasan dengan Pasir Panjang sempurna pada 21 Januari 1907.

Penumpang tren akan berhenti di Stesen Woodlands dan menaiki feri wap — bernama Singapore and Johore — dengan setiap feri membawa maksimum 160 penumpang. Pada tahun 1912, feri ketiga dengan nama Ibrahim pula berperanan.

Tahun pertamanya syarikat keretapi Inggeris bikin untung lantaran membawa 426,044 orang penumpang.

Kebanyakan mereka dari Singapura berlibur di Johor Bahru untuk berjudi. Ketika itu JB mendapat julukan Monte Carlo Asia. Mungkin tidak usahlah kita menyentuh sangat darihal ini.

Menjelang tahun 190an, industri pemotoran tiba-tiba mendapat perhatian dan motokar menjadi masyhur. Inggeris mulai memikirkan pula bagaimana memudahkan pengangkutan antara Johor dan Singapura.

Pengarah Jabatan Kerja Raya W. Eyre Kenny, telah mencadangkan untuk membina tambak dengan memadatkan bertan-tan tanah dan batu untuk mengambus laut.

Cadangan ini dilihat praktikal memandangkan kos membina jambatan sangat mahal. Tambahan pula kuari di Pulau Ubin dan Bukit Timah dapat membekalkan keperluan ini.

Justeru pada tahun 1918, pelan terperinci dilakar oleh syarikat Messrs Coode, Matthews, Fitzmaurice & Wilson untuk dibentangkan kepada FMS, Negeri Selat dan Kerajaan Johor.

Pada tahun 1919, British bersetuju dengan projek ‘koswe’. Tatkala itu projek ini dianggap sebagai kerja kejuruteraan paling hebat di Asia Timur dengan 2,000 buruh diupah, manakala jutaan tan batu dan aneka kayu dan tanah digunakan.

Tren pertama melintasi tambak meninggalkan Kuala Lumpur pada 30 September 1923 dan tiba di Stesen Tank Road, Singapura pada 7.41 pagi 1 Oktober. Sejak itu, perkhidmatan keretapi menggantikan feri.

Sebenarnya pembinaan tambak hanya benar-benar siap pada 11 Jun 1924, dan majlis perasmiannya adalah pada 28 Jun 1924 di Johor Bahru, dihadiri 400 tetamu dari Negeri Melayu Bersekutu, Negeri Selat dan Johor.

Majlis mewah yang dihoskan oleh Laurence Nunns Guillemard itu turut dihadiri Sultan Ibrahim dari Johor. Cuti umum diisytiharkan dan warga Johor dan Singapura meraikan tambak dengan merentasi berjalan kaki.

Ketika majlis perasmian, terdapat tali reben sutera merentang tambak. Guillemard ditugaskan memotongnya. Sultan Ibrahim membawakan pisau emas untuk menyudahi tugas ini sebelum lagu negeri Johor dimainkan.

Risau dengan resam karut British, Guillemard berpaling kepada Sultan lantas mengatakan: “Tuanku, mohon Tuanku sudi menerima pensil daripada saya. Ini kerana sebarang hadiah berbentuk pisau atau seumpamanya mesti dibilas dengan hadiah balas menurut resmi Inggeris. Kalau tidak berbalas, kami percaya hubungan kita akan terjejas.”

Rombongan Guillemard, Sultan Ibrahim, dan beberapa Raja Melayu dan pentadbir Inggeris lantas dibawa dengan konvoi sebelas motokar masuk ke Singapura, untuk makan tengahari.

‘Koswe’ dimusnahkan secara panik oleh pihak British pada tahun 1942 ketika Perang Dunia Kedua demi menghalang tentera Jepun daripada mara ke Singapura. Bagaimanapun, tambak ini dibina semula oleh Jepun setelah mereka menawan Singapura.

Hari ini tambak bukan sahaja menyangga jalan raya dan landasan kereta api, ia juga merentangkan paip yang membekalkan air ke Singapura.

Pernah, terdapat keresahan bahawa air bertakung disebabkan tambak ini boleh menjejaskan kesihatan orang Johor.

Malaysia mencadangkan penggantian tambak kepada jambatan semenjak awal tahun 2000-an untuk membolehkan air mengalir tetapi cadangan itu ditolak berkali-kali oleh Singapura.

Oleh sebab itu, Malaysia pernah bercadang meneruskan projek penggantian melalui apa yang telah digelarkan sebagai “jambatan separuh yang bengkok” (crooked half bridge). Jika ini berlaku, maka dibayangkan ada kapal barangkali boleh melalui bawah jambatan ini.

Penggantian tambak kepada jambatan juga akan membolehkan sistem pelabuhan yang dapat menghubungkan Pelabuhan Johor dan Pelabuhan Tanjung Pelepas, lantas mengkayakan negara kita. Ia juga mungkin memanfaatkan Melaka. Johor akan beroleh bahagian dari kepesatan ekonomi yang dinafikan.

Pun, seperti biasa Singapura enggan bersetuju dek kerana penggantian tersebut akan mengancam kegiatan dan kekayaan Pelabuhan Singapura.

Dalam dunia dengan kerangka penjajah, yang kaya boleh memilih untuk mengkayakan siapa pula yang lainnya, atau memiskinkan siapa yang disasarkannya.

Sepertinya kita beria memberikan pisau emas, tetapi dibalas dengan sebatang pensil. – 26 Disember, 2023.

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen