Faisal Tehrani kembali dengan novel satira 'The Koro Riots'


Alfian Z.M. Tahir

Mohd Faisal Musa, berkata novel itu walaupun berunsurkan satira namun mempunyai mesej anti-imperialisme dan anti-kolonialisme. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 11 November, 2023.

PENULIS kontroversi Faisal Tehrani kembali dengan novel fiksyen satira terbaharunya “The Koro Riots”, mengisahkan kehidupan lelaki yang hilang alat sulitnya di negara khayalan bernama Hujung Manani.

Faisal atau nama sebenarnya Mohd Faisal Musa, berkata novel itu walaupun berunsurkan satira namun mempunyai mesej anti-imperialisme dan anti-kolonialisme.

“The Koro Riots” berkisarkan kepada watak protagonisnya, seorang diktator bernama Priapus dan isterinya Datin Lotis, yang menggunakan ilmu hitam, iaitu kuasa seekor harimau.

“Buku itu mempunyai unsur-unsur ekstremisme agama, ekstremisme politik, feminisme dan anti-patriarki.

“Ia juga mengenai politik yang dikuasai oleh ahli politik yang jahil dan tidak berakal termasuk pemimpin agama,” katanya.

Novel itu dilancarkan di Kuala Lumpur sebentar tadi.

Ahli akademik itu kemudiannya menyelar sikap berat sebelah pihak berkuasa dalam mengekang perbezaan pendapat, terutama terhadap individu yang tidak mempunyai pengaruh.

“Berdasarkan Pelan Tindakan Rabat, terdapat garis panduan yang jelas mengenai kebebasan bersuara. Seharusnya tidak ada ucapan kebencian dan jika seseorang menggunakan ucapan kebencian, pihak berkuasa mesti mempertimbangkan tahap pengaruhnya.

“Sekiranya orang yang tidak popular membuat ucapan kebencian di internet, yang dia tidak mempunyai penonton atau pendengar, kerajaan tidak seharusnya mengambil sebarang perhatian selagi ucapan itu tidak menjurus kepada keganasan.

“Masalah yang lebih besar ialah apabila seseorang yang sangat popular dengan jumlah pengikut dan pengaruh yang ramai membuat ucapan sedemikian di internet, yang kemudiannya mendapat perhatian meluas,” kata Faisal.

Faisal kini merupakan seorang ahli akademik di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Beliau memenangi banyak hadiah dan anugerah sastera.

Antara karya beliau yang paling diingati ialah “1515” (diterjemahkan ke dalam bahasa Perancis dan diterbitkan oleh Les Indes Savantes), dan “The Professor” (diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris) pada 2020.

Faisal juga dikenali sebagai penulis skrip drama, di mana drama pentasnya bertajuk “Ghaib” mendapat ulasan yang baik.

Tahun ini, lakon layar tulisan Faisal berjudul “Maryam Pagi Ke Malam”, arahan Badrul Hisham Ismail, ditayangkan di Festival Filem Rotterdam. – 11 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen