Jangan simpan duit surau dan masjid


Naim Al-Kalantani

Masjid al-Busyra di Merbok berjaya mengendalikan sumbangan orang ramai ke arah memajukan ekonomi setempat. – Gambar Facebook, 9 April, 2024.

BARU-BARU ini tular satu video di laman media sosial TikTok, sebuah masjid di Kedah menjemput orang ramai untuk menyumbang dana untuk masjid tersebut membina sebuah hotel yang bernilai RM2.4 juta.

Tindakan masjid tersebut mendapat pelbagai reaksi orang ramai, ada yang menyokong, ada yang menentang.

Bagi golongan yang menentang, minda mereka mungkin tertawan dek sumbangan yang diperolehi oleh masjid hanya boleh digunakan bagi aktiviti keagamaan dan bukannya sebuah hotel yang bernilai jutaan ringgit.

Di negeri Darul Aman tersebut, saya cukup tertarik dengan dua masjid iaitu Masjid al-Busyra di Merbok dan Masjid Murthada Dakwah Centre (Madad) di Sungai Petani.

Kedua-dua masjid ini mengamalkan konsep “kami tak simpan duit hangpa.” Konsep ini sangat menarik dan sepatutnya menjadi konsep yang paling tepat untuk menguruskan sesebuah rumah Allah.

Apabila menyebut perkataan “masjid” atau “surau”, lazimnya masyarakat akan berfikirkan ia merupakan tempat suci bagi umat Islam untuk melaksanakan ibadah.

Tetapi ramai terlepas pandang yang masjid dan surau juga menjadi medan untuk mengukuhkan ikatan kebersamaan dalam masyarakat. 

Terdapat satu aspek penting yang sering kali dilupakan oleh pengurusan masjid dan surau iaitu pengurusan kewangan yang efektif. 

Sumbangan atau sedekah kepada surau dan masjid perlu dimanfaatkan sebaiknya demi kemajuan dan kesejahteraan umat.

Derma orang ramai tersebut adalah amanah yang diterima kepada ahli jawatan kuasa masjid daripada orang ramai. 

Derma tersebut bukan untuk disimpan di dalam akaun bank. Tetapi perlu digunakan semaksimum mungkin bagi pembangunan masjid.

Ada ketika saya berasa terkilan apabila memasuki masjid yang ada di papan kenyataannya tertulis jumlah kutipan derma bulanan atau derma solat Jumaat yang terkumpul mencecah empat hingga lima angka.

Tetapi apabila masuk ke tandasnya, selak pintu tandas pun rosak. Inilah ironi yang perlu difikirkan bersama.

Sepatutnya di masjidlah yang menjadi fasiliti terbaik kerana tujuan utama masjid dibina — seperti yang diberitahu di atas tadi — untuk melaksanakan ibadah.

Ibadah bukan sahaja solat dan zikir, tetapi bagaimana seseorang individu tersebut dapat melaksanakan solat dan zikir itu dengan sempurna dan tenang.

Lihat bagaimana Masjid al-Busyra membina tandas mereka yang begitu cantik setaraf dengan tandas di R&R.

Masjid itu juga memperoleh Anugerah Standard Pelancongan Asean (Peringkat Kebangsaan) bagi kategori tandas awam terbaik pada 12 Jun tahun lalu.

Lihat bagaimana pengurusan masjid tersebut menjaga kebersihan dan tandas mereka.

Duit yang diperolehi oleh masjid atau surau juga boleh atau wajar dijadikan sebagai satu modal untuk berniaga atau menaiktaraf ekonomi masyarakat setempat.

Masjid al-Busyra berjaya mengendalikan sumbangan orang ramai ke arah memajukan ekonomi setempat.

Mereka mempunyai medan selera, perkhidmatan percetakan, dewan serba guna, rumah inap bagi musafir, studio, kedai runcit, kedai gunting rambut, spa dan salun mesra muslimah, dobi dan telaga wakaf.

Semua ini hasil daripada sumbangan orang ramai dan dijadikan modal untuk berniaga.

Tindakan tersebut adalah wajar kerana ia melibatkan hubungan sesama manusia — tujuan kedua pembinaan sesebuah masjid yang saya nyatakan tadi.

Selain itu, fasiliti masjid yang dibangunkan tadi, berserta logistik yang dimiliki masjid, perlulah boleh digunakan kepada ahli kariah atau masyarakat setempat.

Konsep ini sangat praktikal untuk dibuat.

Lazimnya surau atau masjid kini memang akan mempunyai alat-alatan seperti khemah, alat memasak, meja dan kerusi.

Barang-barang tersebut boleh dipinjamkan secara percuma kepada ahli kariah untuk memudahkan proses walimatul urus dijalankan jika individu tersebut tidak mampu untuk menempah daripada pihak luar.

Jika dipinjamkan dengan ada kadar bayaran pun, perlulah berpada-pada dan bayarannya perlulah seminimum mungkin kepada ahli kariah.

Cara ini mungkin akan menarik minat penduduk setempat mendekati masjid atau surau.

Bukan sahaja mendekatkan orang dewasa ke masjid, tetapi masjid Madad mengambil langkah yang sangat mengejutkan, mereka membina taman permainan dalam masjid dan taman tersebut menghubungkan dewan utama solat.

Tindakan mereka menyebabkan kanak-kanak lebih suka pergi ke masjid kerana hak-hak kanak-kanak tadi disantuni dengan begitu baik.

Bagaimanapun, penggunaan wang derma orang ramai ini perlukan diiringi dengan pengurusan kewangan yang telus dan mantap.

Pengurusan masjid perlulah melantik pekerja daripada individu yang berkaliber untuk menguruskan kewangan.

Imam atau pengerusi masjid perlu ada konsep yang dinyatakan di atas tadi — jangan simpan duit derma.

Begitu juga dengan pemilihan imam, pengerusi atau ahli jawatankuasa masjid.

Mereka ini sebenarnya menjaga amanah masjid dan duit yang keluar masuk ke dalam akaun atau tabung masjid.

Beberapa kejadian yang “memalukan” institusi masjid berlaku pada bulan puasa yang mulia ini. 

Ahli jawatankuasa bertekak berkenaan bayaran kepada imam tarawih. Sekurang-kurangnya ada dua kes yang berlaku.

Kes yang pertama, imam terawih di satu masjid sepatutnya mendapat saguhati RM4,000 untuk sebulan mengimamkan solat terawih.

Tetapi ada dalam kalangan AJK menganggap jumlah tersebut sangat banyak, kemudiannya mencadangkan diberikan RM500.

Ada bantahan dalam kalangan AJK dan akhirnya mereka sepakat untuk mengedarkan tabung untuk sumbangan imam tersebut.

Allah Maha Kaya, mereka mendapat RM21,000 untuk tabung saguhati itu sahaja.

Kes tersebut juga berpanjangan. Apabila AJK mengetahui jumlah tersebut, dia juga membantah kerana jumlah tersebut dikatakan terlalu banyak.

Kes kedua, imam tarawih hanya diberikan RM100 untuk menjadi imam selama sebulan, saguhati ini ditetapkan oleh AJK masjid.

Akhirnya atas inisiatif seorang individu yang prihatin terhadap kes ini, imam tersebut mendapat RM5,600 hasil kutipan dana dari orang ramai.

Apakah persamaan kedua-dua kes ini? Dua-dua masjid ini mempunyai sistem jawatankuasa yang sangat tidak efektif dan tidak telus.

Apabila melibatkan wang, mereka putih mata. Mereka menganggap wang yang diperoleh adalah milik peribadi mereka dan tidak layak untuk digunakan untuk aktiviti tertentu dengan jumlah yang tertentu.

Masjid al-Busyra dan Masjid Madad boleh dijadikan suri teladan bagi masjid-masjid atau surau-surau lain untuk mengikuti jejak langkah mereka.

Dua masjid ini juga mempunyai imam muda yang memandang jauh ke hadapan. 

Mereka cuba untuk mengubah persepsi masyarakat mengenai masjid yang bukan sahaja untuk beribadat kepada Allah, tetapi juga menjaga silaturahim sesama insan.

Kedua-dua imam tersebut jika dilihat dari paras rupa, memang sangat muda untuk mengendalikan dua buah masjid yang semakin masyhur di Utara Semenanjung itu.

Mereka juga aktif di media sosial, terutamanya TikTok, untuk menunjukkan duit yang diperoleh daripada jemaah itu disalurkan ke mana.

Tanyalah diri anda, semasa anda menderma di masjid atau surau, adakah anda mahu duit anda tersebut digunakan atau disimpan? – 9 April, 2024.

* Naim Al-Kalantani, penuntut ijazah sarjana muda di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dalam bidang penulisan kreatif di bawah Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen