Johor giat kumpul derma untuk tabung bantu rakyat Palestin


kata Mohd Fared, kerajaan negeri tidak menyasarkan sebarang angka bagi kutipan derma tersebut. – Gambar Facebook, 23 Oktober, 2023.

KERAJAAN negeri kini giat mengumpul derma melalui kira-kira 3,000 masjid dan surau bagi Tabung Kemanusiaan Bantuan Rakyat Palestin Negeri Johor sebagai antara usaha membantu rakyat Palestin yang terkesan susulan pertempuran terkini yang meletus di Semenanjung Gaza.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Mohd Fared Mohd Khalid berkata kutipan tabung yang dilancarkan minggu lepas itu akan dikumpulkan hingga Selasa depan dan diserahkan kepada kerajaan Persekutuan.

“Kita menetapkan (kutipan) dalam tempoh dua minggu. Ini baru minggu pertama kutipan di semua masjid dan surau, kemudian akan diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

”Kita tiada sasaran (tetapi) sudah pastilah kita menjangkakan sebanyak yang mungkin sepanjang kutipan itu berlangsung, maka saya mengajak rakyat Johor menderma ke tabung ini,” kata beliau kepada pemberita selepas penyampaian hadiah Pertandingan Global Wakaf Game Tabung Waqaf Rakyat Johor Peringkat Negeri Johor, hari ini.

Selain itu, beliau berkata kerajaan negeri sentiasa menyokong perhimpunan aman yang dianjurkan badan-badan bukan kerajaan (NGO) dalam menunjukkan solidariti terhadap penderitaan rakyat Palestin.

Pertempuran terkini di Palestin melibatkan Hamas, pihak berkuasa di Gaza dan rejim Israel sehingga kini mengakibatkan kehilangan ribuan nyawa kedua-dua belah pihak. – Bernama, 23 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen