Mahkamah benar 5 pertuduhan rasuah Adam Radlan dibicara bersama


Adam Radlan turut berdepan tujuh pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM3 juta mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Januari, 2024.

MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur hari ini memutuskan supaya lima pertuduhan rasuah berkaitan Program Jana Wibawa yang dihadapi Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad dibicarakan bersama.

Hakim Suzana Hussin membuat keputusan demikian selepas membenarkan permohonan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fadhly Mohd Zamry dan ia tidak dibantah oleh peguam Alaistair Brandah Norman yang mewakili Adam Radlan pada sebutan kes hari ini.

“Lima pertuduhan rasuah dibenarkan untuk dibicarakan bersama. Tarikh perbicaraan yang ditetapkan sebelum ini dikekalkan dan saya menetapkan tarikh sebutan kes pada 16 Februari ini untuk serahan dokumen berkaitan,” kata Suzana.

Terdahulu Mohd Fadhly berkata permohonan itu dibuat mengikut Seksyen 61 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan pihak pendakwaan memohon tarikh sebutan ditetapkan sebelum perbicaraan bermula untuk pihaknya mengemas kini senarai saksi sebelum diserahkan kepada mahkamah bagi tujuan perbicaraan.

“Bagi tujuh pertuduhan pengubahan haram dihadapi tertuduh, pihak pendakwaan menyerahkan dokumen-dokumen yang berkaitan kepada pihak pembelaan.

“Saya dimaklumkan oleh pihak pembelaan mereka ingin meneliti dahulu dokumen itu sebelum memaklumkan kepada pihak kami sama ada terdapat bantahan atau tidak jika kami membuat permohonan supaya kes pengubahan wang haram dibicarakan bersama dengan kes rasuah,” katanya.

Pada 14 September tahun lepas mahkamah sama menetapkan 15 hari bermula Mei ini untuk perbicaraan tiga pertuduhan rasuah yang dihadapi ahli perniagaan itu iaitu pada 27 hingga 29 Mei, 10 hingga 12 Jun, 9 hingga 11 Julai, 22 hingga 24 Julai dan 5 hingga 7 Ogos 2024.

Pada 21 Februari tahun lepas Adam Radlan didakwa dengan satu pertuduhan meminta suapan wang tunai sejumlah 3.5 hingga tujuh peratus nilai projek yang akan diperoleh daripada Mat Jusoh Mamat yang merupakan Pengarah Urusan syarikat MIE Infrastructure & Energy Sdn Bhd.

Dia turut didakwa satu lagi pertuduhan menerima suapan RM500,000 daripada individu sama (Mat Jusoh) sebagai upah kerana membantu syarikat itu mendapatkan surat sama bagi Projek Membina Jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis daripada kerajaan secara rundingan terus yang jumlah keseluruhannya bernilai RM47.8 juta.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran di Dutamas dan CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku, Taman Tunku pada Mac 2021 dan 26 November 2021.

Sementara itu pada 22 Februari 2023 Adam Radlan didakwa atas dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM4.1 juta daripada Lian Tian Chuan dan Mat Jusoh sebagai upah bagi tertuduh membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd serta MIE Infrastructure & Energy bagi mendapatkan dua projek jenis sama (Jana Wibawa).

Pada 28 Februari tahun lepas dia sekali lagi didakwa iaitu secara rasuah meminta wang berjumlah RM2 juta daripada Lian sebagai upah untuknya kerana membantu syarikat Nepturis mendapatkan projek berkaitan Jana Wibawa.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Adam Radlan turut berdepan tujuh pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM3 juta mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. – Bernama, 11 Januari, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen