Terlibat kes pembunuhan beramai-ramai, bekas doktor dipenjara 24 tahun


Bekas pakar sakit puan Rwanda Sosthene Munyemana didapati bersalah melakukan pembunuhan beramai-ramai. – Gambar AFP, 20 Disember, 2023.

MAHKAMAH Perancis menjatuhkan hukuman penjara 24 tahun ke atas bekas doktor, Rwanda Sosthene Munyemana kerana terlibat dalam pembunuhan beramai-ramai etnik Tutsi pada 1994.

Bekas pakar sakit puan berusia 68 tahun itu didapati bersalah melakukan pembunuhan beramai-ramai, jenayah kemanusiaan dan penyertaan dalam konspirasi untuk menyediakan jenayah ini.

Bagaimanapun, peguamnya berkata beliau akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu.

Sementara itu, pihak pendakwaan memohon tertuduh dikenakan hukuman penjara 30 tahun, atas alasan “keseluruhannya” dia menunjukkan “ciri-ciri seorang pembunuh”.

Munyemana dituduh membantu merangka surat sokongan untuk kerajaan sementara ketika itu, yang menggalakkan pembunuhan beramai-ramai etnik Tutsi.

Dia juga dituduh membantu membuat sekatan jalan raya untuk menangkap orang ramai dan memperlakukan mereka tanpa perikemanusiaan di pejabat kerajaan tempatan sebelum mangsa dibunuh di wilayah Butare, selatan Rwanda, tempat dia tinggal ketika itu.

Sewaktu perbicaraan, Munyemana berulang kali menafikan tuduhan itu, mendakwa dia seorang Hutu sederhana yang sebaliknya cuba “menyelamatkan” etnik Tutsi dengan menawarkan mereka “perlindungan” di pejabat kerajaan tempatan.

Pada 2011, mahkamah Perancis mendakwa bapa kepada tiga anak itu kerana disyaki mengambil bahagian dalam pembunuhan beramai-ramai pada 1994.

Munyemana rapat dengan Jean Kambanda, ketua kerajaan sementara yang ditubuhkan selepas pesawat yang membawa presiden ketika itu Juvenal Habyarimana ditembak jatuh oleh peluru berpandu pada 1994.

Perbicaraan di Mahkamah Assize di Paris mengambil masa hampir tiga dekad selepas pendakwaan difailkan terhadap Munyemana di bandar Bordeaux di barat daya Perancis pada 1995. – AFP, 20 Disember, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen