Johor akan mohon DPP lihat semula keputusan kes Sungai Kim Kim


Pencemaran kimia di Sungai Kim-Kim pada 2019 menggemparkan seluruh negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Disember, 2023.

KERAJAAN negeri Johor akan memohon kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk melihat semula hukuman pesalah pencemaran Sungai Kim Kim, Pasir Gudang yang berlaku pada 2019, sama ada setimpal atau tidak.

Pengerusi Bersama Task Force Sungai Johor Mohd Jafni Md Shukor berkata ia bagi memastikan sama ada hukuman denda terhadap pesalah memadai, jika dilihat dari segi apa yang kerajaan telah belanjakan menangani kesan pencemaran di sungai itu dan kesan kepada masyarakat sekitar.

“Dalam kita menjaga alam sekitar khasnya sungai untuk generasi akan datang, sepatutnya penguatkuasaan yang keras dilaksanakan kerajaan,” katanya kepada pemberita di luar persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Iskandar Puteri, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas keputusan Mahkamah Sesyen Johor Bahru Khamis lepas menjatuhkan hukuman denda maksimum terhadap seorang pemandu lori yang terlibat dalam kes pencemaran Sungai Kim Kim pada 7 Mac 2019 sehingga menjejaskan kesihatan lebih 2,000 orang awam dan menyebabkan 111 sekolah di Pasir Gudang ditutup buat sementara waktu.

Semalam Jabatan Alam Sekitar (JAS) memaklumkan Mahkamah Sesyen Johor Bahru menjatuhkan denda maksimum RM100,00 ke atas pemandu lori N. Maridass yang menyebabkan pencemaran itu.

Selain itu, syarikat P Tech Resources Sdn Bhd yang berdepan lapan pertuduhan mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014 turut didenda RM40,000 bagi setiap pertuduhan menjadikan jumlah keseluruhan denda RM320,000. – Bernama, 3 Disember, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen