Syed Saddiq lebih berani berbanding pemimpin senior


SEMALAM seluruh negara digemparkan dengan keputusan kes Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang telah dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan didenda RM10 juta serta dikenakan dua sebatan atas kesalahan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA). 

Saya percaya setelah mendengar hujahan-hujahan pihak pembelaan dan pendakwaan, Hakim Mahkamah Tinggi Azhar Abdul Hamid telah membuat keputusan seadil mungkin di dalam perbicaraan ini. 

Namun begitu, kita tidak boleh menafikan bahawa Syed Saddiq seorang pemimpin muda telah menunjukkan sikap keberanian yang amat tinggi berbanding sesetengah pemimpin senior apabila berhadapan situasi yang sama. 

Sepanjang perbicaraan berlangsung, Syed Saddiq tidak pernah menggunakan jawatannya dan juga hubungannya dengan kerajaan persekutuan untuk mempengaruhi prosiding mahkamah ataupun mencari jalan bagi melepaskan diri melalui pintu belakang.

Ini berbeza dengan sesetengah pemimpin lain yang sanggup menggunakan pelbagai helah untuk cuba melepaskan diri mereka daripada menghadapi pertuduhan di mahkamah tanpa melalui proses perundangan yang telus.

Sebelum ini kita dikejutkan dengan penarikan semula pertuduhan di mahkamah oleh pihak pendakwaan bagi kes berprofil tinggi seorang pemimpin senior yang berhadapan 47 pertuduhan jenayah, yang mana perkara ini mendatangkan kesebalan rakyat kerana kes tersebut telah pun berada di peringkat pembelaan (wujud prima facie).

Syed Saddiq tidak bacul seperti pemimpin tersebut, kerana sungguhpun berupaya untuk menggunakan apa jua cara untuk melepaskan diri, beliau memilih untuk meniti proses undang-undang mengikut tertib dan aturan yang sepatutnya.

Secara jujurnya, sebagai rakyat Malaysia saya amat yakin dengan institusi kehakiman di negara ini, namun apa yang dirisaukan adalah pendakwaan terpilih (selective prosecution) yang dilihat semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini. 

Mungkin ini adalah iltizam sebuah negara “Madani” yang mana politikus tua penakut akan sentiasa terlepas girang, manakala mereka yang bermaruah dan berani sahaja akan terus ditekan dan diinjak. 

Masih lagi terdapat ruang untuk Syed Saddiq mengemukakan rayuan terhadap keputusan ini dan kita berharap beliau akan menggunakan peluang ini sebaik mungkin untuk mendapatkan keadilan yang sewajarnya. 

Saya berharap Syed Saddiq terus tabah dan teruskan perjuangan beliau untuk membela rakyat, khususnya bagi kawasan Parlimen Muar yang merupakan tempat beliau wakili. – 10 November, 2023.

* Zuraida Kamaruddin, timbalan presiden Muafakat Nasional.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen