Penahanan salah: Peguam fail permohonan kebenaran semakan kehakiman terhadap PDRM


SEORANG peguam memfailkan permohonan bagi kebenaran semakan kehakiman terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen (JIM) dan kerajaan berhubung dakwaan salah guna kuasa kerana menangkap dan menahan beliau secara salah pada Oktober 2023.

Rosli Dahlan memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 29 Disember lepas menerusi Tetuan Vin Law Co dan ia ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Hakim Ahmad Kamal Md Shahid pada 19 Februari ini.

Beliau menamakan Ketua Polis Negara Razarudin Husain@Abd Rasid, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ramli Mohamed Yoosuf, Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram Urussetia Ketua Polis Negara Muhammad Hasbullah Ali serta Timbalannya ACP Foo Wei Min dan Pegawai Penyiasat Superintenden Mohd Faizal Mohd Atan sebagai responden pertama hingga kelima.

Turut dinamakan Ketua Pengarah JIM Khairul Dzaimee Daud, PDRM, JIM dan kerajaan.

Rosli memohon perintah untuk membatalkan keputusan atau tindakan responden pertama hingga kelima yang didakwa menyalahgunakan kuasa mereka dengan mengaitkan beliau dengan laporan polis berkaitan i-Serve Technology and Vacations Sdn Bhd (i-Serve) yang tiada kena-mengena dengannya.

Beliau juga memohon perintah tindakan kelima-lima responden yang menyebabkan tangkapan, penahanan dan tahanan reman terhadapnya pada 26 Oktober 2023 serta membekukan akaun banknya adalah menyalahi undang-undang serta melanggar hak asasi di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Peguam itu turut memohon agar mahkamah membatalkan sekatan ke luar negara terhadapnya. – Bernama, 3 Januari, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen