Sanusi sedia beri kerjasama berhubung isu dakwaan rasuah KFA


Muhammad Sanusi Md Nor berkata setakat ini tiada sebarang pemakluman beliau akan dipanggil SPRM untuk memberi keterangan berhubung isu rasuah yang dikaitkan dengan KFA. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Januari, 2024.

MENTERI Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor bersedia untuk memberi kerjasama jika dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung isu rasuah yang dikaitkan dengan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

Beliau yang juga Presiden KFA bagaimanapun memaklumkan setakat ini tiada sebarang pemakluman beliau akan dipanggil SPRM untuk memberi keterangan berhubung isu berkenaan.

“Saya sedia beri kerjasama 28 jam sehari, datanglah bila pun… nak tanya apa, mai (datang) saya nak jawab kerana sebenarnya tiada unsur penyelewengan dalam KFA kerana wang itu ada di dalam akaun persatuan dan bukannya akaun peribadi mereka yang dikaitkan dengan isu rasuah itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada turut dipanggil oleh SPRM untuk memberi keterangan berhubung isu rasuah persatuan itu selepas Jumaat lepas empat individu, termasuk seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) persatuan bola sepak direman tiga hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan rasuah pada tahun 2020.

Pihak KFA mengesahkan CEO persatuan, Zulkifli Che Haron direman oleh SPRM namun dia dibebas dan dilepaskan dengan jaminan SPRM setelah selesai memberi keterangan bersama-sama tiga individu yang lain.

Sementara itu Muhammad Sanusi berkata berkata isu rasuah itu turut memberi kesan kepada KFA apabila ada pihak yang bersetuju untuk menyumbang kepada persatuan berkenaan menjadi takut kerana bimbang akan turut terpalit dengan isu yang sedang dihadapi KFA. – Bernama, 8 Januari, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen