Berhenti ternak 'katak politik', kemuka bukti jika benar wujud rasuah


SEMAKIN ramai ahli Parlimen daripada blok pembangkang menyatakan sokongan kepada perdana menteri ke-10, Anwar Ibrahim. 

Terbaru, Ahli Parlimen Jeli Zahari Kechik merupakan ahli Parlimen daripada Bersatu yang keempat mengisytiharkan sokongan kepada perdana menteri, mengikut jejak langkah Ahli Parlimen Kuala Kangsar Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid; Ahli Parlimen Labuan Suhaili Abdul Rahman; dan Ahli Parlimen Gua Musang Mohd Azizi Abu Naim.

Walaupun mana-mana sokongan terhadap perdana menteri atau kerajaan perpaduan amat dialu-alukan demi memastikan kestabilan politik dan kepentingan rakyat diutamakan, namun dalam mana-mana sistem demokrasi patut wujudnya pembangkang yang kuat untuk memainkan peranan semak dan imbang terhadap kerajaan, untuk mengelak berlakunya pemerintahan diktator atau autokratik yang mungkin menyebabkan kepentingan rakyat terabai.

Lebih membimbangkan, terdapat dakwaan yang mengatakan ada ahli Parlimen yang dijanjikan “habuan” sekiranya menyatakan sokongan kepada perdana menteri. 

Ini merupakan satu tuduhan berat dan berupaya mencemar nama baik perdana menteri serta Malaysia Madani.

Jika tuduhan itu berasas, perlu segera dikemukakan bukti.

Rakyat pastinya yakin perdana menteri akan tampil memberi penjelasan terhadap dakwaan tersebut, memandangkan dakwaan “habuan” yang dilemparkan Perikatan Nasional (PN) ini mampu menjejaskan imej beliau. 

Tambahan pula perdana menteri antara pemimpin yang dilihat begitu bersungguh melawan gejala rasuah, malah beliau sendiri dilaporkan memberi “restu” kepada Suruhanjaya Pecegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat mana-mana menteri yang terlibat dalam rasuah.

Selain itu, timbul persoalan mengenai Akta Anti Lompat Parti yang dilihat tidak cukup kuat dan efektif dalam menyekat “penternakan katak politik:. 

Lahirnya “katak politik” ini mencerminkan rakyat berterusan dijadikan alasan untuk memuaskan nafsu peribadi segelintir pihak tertentu yang seolah-olah “tidak boleh hidup tanpa jawatan dan kuasa”. – 9 November, 2023.

* Chan Quin Er, ketua Penerangan MCA.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen