Rasuah projek terowong: Guan Eng mohon pernyataan saksi utama direkod SPRM


Lim Guan Eng didakwa menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang berjumlah RM3.3 juta bagi melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Oktober, 2023.

PIHAK pembelaan memohon untuk mendapatkan salinan pernyataan seorang saksi utama yang direkod Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan kes rasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan seorang ahli perniagaan.

Peguam Gobind Singh Deo mewakili Lim berkata dokumen itu diperlukan bagi pihaknya memulakan prosiding mencabar kredibiliti saksi pendakwaan ke-23, Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB) Zarul Ahmad Mohd Zulkifli kerana wujud percanggahan dalam kenyataannya di mahkamah.

“Pihak pembelaan berhak menyoal Zarul berhubung isu wang RM2 juta yang masing-masing untuk Lim Guan Eng dan Najib (bekas Perdana Menteri Najib Razak) yang diberikan melalui G. Gnanaraja selaku orang tengah pada 2017.

“Pada prosiding sebelum ini Zarul menyatakan hanya RM2 juta untuk Lim Guan Eng. Oleh itu wujud percanggahan yang serius dalam pernyataan Zarul dan kami mohon untuk mencabar kredibilitinya mengikut Seksyen 145 Akta Keterangan 1950,” kata Gobind.

Gobind berkata semasa memberikan kenyataan kepada SPRM bagi kes Gnanaraja di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Zarul Ahmad memaklumkan pemberian RM2 juta kepada ahli perniagaan itu untuk menutup siasatan SPRM terhadap syarikatnya.

Semalam Zarul Ahmad memberitahu mahkamah wang RM2 juta dibayar melalui cek kepada Lim berhubung pelaksanaan projek terowong dasar laut dan jalan utama di Pulau Pinang manakala wang tunai RM2 juta diberikan kepada Najib untuk menutup siasatan SPRM terhadap syarikatnya.

Sementara itu Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Wan Shaharuddin Wan Ladin membantah permohonan itu kerana ia dibuat tanpa mengikut prosedur betul selain tidak berasas bagi tujuan memancing maklumat daripada pernyataan Zarul Ahmad sedangkan pihak pembelaan boleh menyoal balas saksi berkenaan untuk mendapatkan maklumat.

“Permohonan tersebut pada peringkat ini adalah bersifat pramatang kerana ia hanya bersandarkan kepada kenyataan Zarul Ahmad bahawa beliau membuat pembetulan dalam pernyataannya kepada SPRM.

“Apa yang pihak pembelaan mahukan ialah untuk meneliti pernyataan itu bagi memastikan sama ada pembetulan dibuat bukan untuk prosiding mencabar kredibiliti saksi berkenaan,” kata Wan Shaharuddin.

TPR Mahadi Abdul Jumaat pula berhujah permohonan itu harus ditolak atas alasan pernyataan itu diklasifikasikan sebagai dokumen istimewa hasil daripada komunikasi di bawah Akta Keterangan.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak Hakim Azura Alwi menetapkan 2 November ini untuk keputusan manakala perbicaraan esok dan 1 November dilapangkan.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Lim, 60, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang berjumlah RM3.3 juta, dengan membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik bagi melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702.

Lim didakwa melakukan perbuatan itu antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagi pertuduhan pindaan kedua Lim didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul sebagai upah bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama.

Lim didakwa melakukan perbuatan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di Kuala Lumpur antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017. – Bernama, 24 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen