Keputusan rayuan Isa Samad 28 November


Bekas pengerusi Felda Mohd Isa Abdul Samad dijatuhi hukuman penjara enam tahun serta denda RM15.4 juta atas sembilan pertuduhan rasuah membabitkan RM3.09 juta berkaitan pembelian sebuah hotel di Kuching, Sarawak.– Gambar fail The Malaysian Insight, 3 November, 2023.

MAHKAMAH Rayuan menetapkan 28 November untuk keputusan rayuan bekas pengerusi Felda Mohd Isa Abdul Samad bagi sabitan dan hukuman penjara enam tahun serta denda RM15.4 juta atas sembilan pertuduhan rasuah membabitkan RM3.09 juta berkaitan pembelian sebuah hotel di Kuching, Sarawak.

Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz mengesahkan tarikh keputusan rayuan itu ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata pihak pembelaan telah memfailkan hujahan tambahan dan pihak pendakwaan juga telah memfailkan hujahan jawapannya seperti yang diminta oleh mahkamah.

Pada 16 Oktober lepas, panel tiga hakim terdiri daripada Vazeer Alam Mydin Meera, Ahmad Zaidi Ibrahim dan S.M.Komathy Suppiah menangguhkan keputusan itu selepas selesai mendengar hujah pihak pembelaan dan pendakwaan.

Mohd Isa, 73, didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi pada 3 Februari 2021, atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak, oleh Felda.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Menara Felda, Platinum Park, Persiaran KLCC, di Kuala Lumpur antara 21 Julai 2014 dan 11 Disember 2015.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan) menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan menjadikan keseluruhan 54 tahun serta denda RM15.45 juta atau dipenjara 18 tahun jika gagal membayar denda berkenaan. 

Bagaimanapun, Mohd Isa hanya perlu menjalani hukuman penjara enam tahun apabila mahkamah memerintahkan supaya kesemua hukuman penjara itu berjalan serentak.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu memfailkan notis rayuan terhadap sabitan salah serta hukuman penjara dan denda yang dikenakan terhadapnya pada 4 Februari 2021.

Beliau dibenarkan diikat jamin sebanyak RM1.5 juta selain perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap 1 hari bulan hingga rayuan selesai.

Dalam prosiding pada 16 Oktober lepas, peguam Salehuddin Saidin yang mewakili Mohd Isa berkata anak guamnya perlu dilepas dan dibebaskan daripada semua pertuduhan kerana fakta kes menunjukkan tiada bukti Mohd Isa menerima wang tersebut.

Beliau juga berhujah bahawa hakim Mahkamah Tinggi telah menggunakan prinsip undang-undang yang salah kerana gagal memberi perhatian sewajarnya kepada semua keterangan di hadapan mahkamah dan beliau juga tidak menilai keseluruhan keterangan sebelum membuat kesimpulan.

Bagaimanapun, Afzainizam membalas dengan mengatakan bahawa Mohd Isa berhasrat untuk mendapatkan suapan itu, walaupun tidak berurusan secara langsung dengan ahli perniagaan Sarawak Ikhwan Zaidel dalam mana-mana urus niaga yang melibatkan jumlah itu dibayar, suapan itu diterima olehnya (Mohd Isa) melalui bekas pembantu Mohd Isa, Muhammad Zahid Arip Zahid.

Beliau berkata suapan itu dibayar kerana bimbang Mohd Isa mungkin menggunakan pengaruhnya untuk membatalkan atau menangguhkan pembayaran bagi pengambilalihan hotel itu, sambil menambah bahawa anak syarikat Felda, Felda Investment Corporation Sdn Bhd sebelum ini menolak cadangan untuk membeli hotel itu. – Bernama, 3 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen