Ambiga persoal keputusan kerajaan bebas Zahid 


Noel Achariam

Bekas Pengerusi Majlis Peguam Ambiga Sreevasan berkata Putrajaya perlu menjelaskan kepada rakyat mengenai keputusannya membebas Ahmad Zahid Hamidi dalam kes rasuahnya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 September, 2023.

BEKAS presiden Majlis Peguam Ambiga Sreenevasan hari ini mengkritik kerajaan selepas Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) dalam kes rasuahnya.

Beliau menerusi akaun Twitter miliknya berkata kerajaan perlu menjelaskan kepada rakyat keputusannya mengenai perkara ini.

“Pembaziran dana awam dalam membuktikan kes prima facie dan sia-sia semua kerja keras anggota Jabatan Peguam Negara.

“Kerajaan pasti berhutang penjelasan kepada orang ramai. Dan saya harap tiada ahli politik UG (kerajaan perpaduan) berani untuk membenarkan perkara ini atau sekali lagi mengatakan mereka antirasuah.”

Awal hari ini, mahkamah memberikan Zahid DNAA bagi kes rasuahnya.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan pihak pendakwaan.

Beliau berkata keputusan itu dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Perbezaan antara dilepas dan dibebaskan (DAA) dan DNAA ialah dengan yang pertama, kes itu telah berakhir.

Bagaimanapun, dengan DNAA pihak pendakwaan boleh memutuskan untuk memfailkan pertuduhan baharu atas fakta yang sama seperti sebelum ini.

Ketua pasukan pendakwaan, Mohd Dusuki Mokhtar berkata, permohonan DNAA dibuat mengikut Seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah.

Beliau turut mengemukakan 11 alasan permohonan itu, salah satunya adalah untuk memberi peluang kepada SPRM menjalankan siasatan terperinci terhadap keterangan pihak pembelaan terhadap 15 saksi termasuk tertuduh.

Sementara itu, Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata pembebasan Zahid adalah bukti beliau mangsa penindasan politik.

Dalam satu kenyataan, Asyraf menuduh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan bekas partinya Bersatu bagi pertuduhan terhadap Zahid pada 2018.

“Sejak awal Umno yakin dan percaya Zahid menjadi mangsa pendakwaan politik yang dilakukan apabila Dr Mahathir ketika dilantik buat kali kedua sebagai perdana menteri.

“Lebih menyedihkan, kezaliman terhadap Zahid berlaku hanya beberapa minggu selepas Dr Mahathir, selaku pengerusi Bersatu ketika itu, mengancam untuk membubarkan Umno dalam mesyuarat yang diakuinya sendiri dalam wawancara media.

“Ini dikuatkan lagi dengan pendedahan bekas peguam negara Tommy Thomas dalam memoirnya ‘My Story: Justice in the Wilderness’ yang jelas mengaku terlibat secara langsung dalam mengatur beberapa pendakwaan terpilih terhadap individu politik berpengaruh bersama Dr Mahathir ketika itu,” katanya.

Tahun lepas, Zahid diperintahkan membela diri terhadap kesemua 47 pertuduhan, membabitkan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram.

Beliau didakwa menggelapkan jutaan ringgit daripada Yayasan Akalbudi dan menerima rasuah bagi pelbagai projek sepanjang menjadi menteri dalam negeri antara 2013 hingga 2018. – 4 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen