Bakar kereta api, polis Bangladesh tahan 7 anggota parti pembangkang


Kebakaran yang berlaku pada Jumaat malam itu meragut nyawa empat penumpang tren komuter Benapole Express di Dhaka maut manakala lapan yang lain cedera. – Gambar AFP, 7 Januari, 2024.

Polis Bangladesh semalam menahan tujuh anggota parti pembangkang yang dipercayai membakar gerabak kereta api dalam serangan menjelang pilihan raya umum negara itu hari ini.

Kebakaran yang berlaku pada Jumaat malam itu meragut nyawa empat penumpang tren komuter Benapole Express di Dhaka maut manakala lapan yang lain cedera.

Beratus-ratus orang awam bertungkus lumus cuba mengeluarkan penumpang daripada gerabak kereta api yang terbakar.

Polis menyifatkan kejadian semalam sebagai perbuatan sabotaj oleh Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) menjelang pilihan raya umum hari ini.

Seorang pegawai kanan BNP di Dhaka, Nabiullah Nabi dan enam lagi aktivis parti itu diberkas di ibu kota Bangladesh semalam, kata jurucakap Polis Metropolitan Dhaka Faruk Hossain.

“Nabi membiayai dan mendalangi serangan itu,” katanya kepada AFP.  

November lalu, BNP yang juga parti pembangkang utama Bangladesh berkata mereka akan memboikot pilihan raya umum jika Perdana Menteri Sheikh Hasina tidak memberi laluan kepada kerajaan berkecuali untuk menjalankan pilhan raya.

Ia menyifatkan pilihan raya umum yang dijadual diadakan hari ini sebagai cubaan untuk menghalalkan pemerintahan pemerintahan Hasina. – AFP, 7 Januari, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen