Imbasan: Setahun kerajaan perpaduan


Mohd Azizi Jaeh

Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Kabinet pimpinannya berdepan cabaran besar sepanjang tahun pertama kerajaan perpaduan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 November, 2023.

MEMASUKI usia setahun, perjalanan kerajaan perpaduan cukup menguji dan mendebarkan, terutamanya bagi 18 parti yang memerintah kerana terpaksa memenuhi jangkaan rakyat yang amat tinggi. 

Macam-macam hal yang perlu diperhitungkan, dari sekecil-kecilnya hinggalah perkara sebesar-besarnya.

Cabaran besar sepanjang tahun pertama ini menagih segala kekuatan dan kudrat khasnya bagi 27 anggota kabinet yang dipimpin Perdana Menteri Anwar Ibrahim. 

Segala keupayaan para menteri perlu dipamerkan, bukan setakat memiliki kebolehan bahkan perlu dilihat (baca: juga persepsi) berwibawa dan lebih mustahak mempunyai optik di mata pengundi.

Optik mendorong kepada satu matlamat politik untuk merangkul sokongan pelbagai golongan khususnya majoriti Melayu yang masih samar-samar dengan hala tuju Malaysia Madani.

Kita sedia maklum, kerajaan hari ini didirikan berdasarkan konsensus antara elit-elit politik selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Tidak ada gabungan parti menjadi pemenang mutlak dan melepasi angka 112 kerusi. Tempoh setahun yang lalu memberikan pengalaman yang berbeza dan detik yang tidak terjangka kepada sejarah demokrasi di Malaysia. 

Perlu diingatkan, ini bukanlah sebuah kerajaan baharu yang berjaya menghumbankan sepenuhnya rejim atau parti paling lama memerintah (Umno dan Barisan Nasional), tetapi kerajaan campuran yang terpaksa dibentuk bersama musuh mereka sebelum ini. 

Meskipun baru setahun, ia merupakan pengajaran berharga yang belum pernah disaksikan dalam 14 kali siri PRU yang lepas. 

Suka atau tidak, parti yang bermusuh sebelum pilihan raya berkemungkinan besar akan bergabung dan bekerjasama membentuk sebuah kerajaan selepas pilihan raya.

Fenomena seperti ini banyak dan sedang berlaku di beberapa buah negara, contoh paling dekat dengan kita ialah Thailand. 

Dari segi mengurus krisis, Malaysia boleh disifatkan antara model terbaik menangani kebuntuan politik.

Meskipun Parlimen tergantung, elit-elit politik kita kelihatan cepat bertindak untuk mengambil solusi dan mengadakan rundingan.

Dalam masa lima hari sahaja akhirnya kerajaan perpaduan berjaya ditubuhkan dan perdana menteri ke-10 dapat diangkat. 

Berbanding Thailand yang mengambil masa selama tiga bulan untuk menyelesaikan pergolakan politik dalaman selepas pilihan raya Mei lalu untuk menamakan perdana menteri baharu mereka iaitu Srettha Thavisin. 

Malaysia pertama kalinya selepas PRU15 menunjukkan penolakan rakyat kepada sistem satu gabungan atau parti yang lama dibangunkan oleh Umno dan Barisan Nasional.

Amalan politik yang membenarkan pelbagai parti bercambah menyebabkan Malaysia kini ditadbir mengikut sistem kepelbagaian parti (multi-party system). 

Dalam erti kata lain, kerajaan campuran pasca PRU15 terbentuk hasil empat gabungan blok berbeza merangkumi 18 parti berkongsi kuasa.

Begitupun, banyak agenda reformasi yang pernah dijanjikan masih belum dibuat, terdapat halangan dari segi struktural, ideologi dan institusi yang mengikat.

Tidak kurang juga banyak dasar yang perlu diteliti semula yang mana memerlukan lebih masa sebelum kerajaan dapat memenuhi janji manifesto mereka. 

Agenda untuk melaksanakan reformasi institusi, tatakelola yang baik dan mengisytiharkan rasuah sebagai musuh utama menjadikan sesetengah lawan politik dan golongan birokrat yang anti kepada reform berasa “tidak senang”. 

Dalam memastikan usaha reformasi dapat dijalankan, ia juga mengakibatkan keadaan ketidakpastian, ketidakjelasan dan adakalanya sukar mencapai persetujuan bersama. 

Terdapat dasar terpaksa ditangguhkan, bahkan terdapat janji-janji untuk memansuh dan meminda beberapa undang-undang yang dahulunya kuat diperjuangkan Pakatan Harapan (PH) sebelum itu mungkin sukar dilaksanakan. Misalnya Akta Hasutan dan AUKU. 

Lebih ironi, dasar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang pernah ditentang hebat oleh PH bakal dan berkemungkinan dikembalikan atas alasan memperkasakan sistem percukaian negara. 

Lagi pula, kerajaan perpaduan berdepan cabaran terbesar bagi mengukuhkan dasar fiskal dan kewangan apabila mewarisi jumlah hutang yang mencecah RM1.5 trilion. 

Sempena ulang tahun pertama pembentukan kerajaan perapaduan, elok rasanya juga kita mengimbas pecaturan kuasa poltik Anwar.

Secara keseluruhan Anwar telah melepasi ujian dan permainan angka dengan meningkatkan sokongan empat ahli parlimen dari parti pembangkang, biarpun seorang ahli Parlimen parti Muda bertindak menarik keluar sokongan. 

Memandangkan polemik menumbangkan kerajaan sepanjang tahun pertama ini sentiasa dibangkitkan pembangkang, Anwar dilihat berjaya menyerap tekanan dan gangguan bagi memastikan kedudukannya tidak tergugat untuk menghabiskan tempoh lima tahun.

Undi percaya terhadapnya, kelulusan belanjawan dan rang-rang undang yang dibentangkan di Parlimen mendapat kelulusan mudah dan meyakinkan. 

Tempoh setahun turut menguji kebertahanan kerajaan perpaduan dengan cabaran Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK).

Sungguhpun keputusan tidak memberangsangkan di beberapa negeri, namun 3 PRK yang terakhir berjaya dimenangi parti dalam kerajaan. 

Meskipun petanda sokongan rakyat semakin positif, langkah dan strategi penting ialah menangani kesusahan rakyat yang masih bergelumang dengan cabaran ekonomi dan kewangan berikutan kos sara hidup semakin tinggi. 

Kerja memulihkan ekonomi memerlukan penggandaan usaha untuk mencapai standard kejayaan sepertimana percaturan politik Anwar membenamkan musuhnya yang dilihat lebih berjaya. 

Masih banyak perlu dilakukan dan diperbaiki dalam menaikkan ekonomi Malaysia.

Kadangkala dari segi polisi ia menampakkan jurang dan prestasi kabinet yang kurang konsisten.

Terdapat menteri yang nampak menyerlah, manakala terdapat menteri pula yang kurang memuaskan prestasinya membantu kerja pasukan bersama perdana menteri. 

Tempoh setahun dilihat sebagai proses pembelajaran bagi anggota utama pentadbiran menyesuaikan diri dan mengenal pasti cabaran semasa dalam  mengendalikan negara.

Memasuki tahun kedua dan ketiga adalah masa yang lebih kritikal untuk mencipta dan membina Malaysia yang lebih cemerlang. 

Paling mustahak, di tengah Malaysia berdepan krisis sebuah kerajaan itu mampu menangani pelbagai masalah dan mendatangkan bentuk penyelesaian.

Seperti ungkapan menarik ahli ekonomi terkemuka Amerika Syarikat iaitu Milton Friedman yang mengatakan “the government solution to a problem is usually as bad as the problem”.  – 23 November, 2023. 

* Mohd Azizi Jaeh sedang mengikuti Pengajian Doktor Falsafah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang sains politik. Pengkajian beliau banyak tertumpu pada parti politik dan sejarah politik Malaysia.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen