Langkah Dubai, politik tahun kedua belum tentu stabil


G Manimaran

Meskipun akhir-akhir ini Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan sudah wujud kestabilan, tetapi rasa sebenar kestabilan negara dan politik masih belum kelihatan. – Gambar Jabatan Penerangan, 1 Januari, 2024.  

KETENANGAN hari-hari terakhir tahun 2023 terhakis dengan khabar mengenai kewujudan satu lagi ‘langkah politik’. Langkah terbaharu yang dikatakan mahu menggulingkan kerajaan. Kali ini diberi nama jolokan Langkah Dubai. Selepas Langkah Sheraton yang mengejutkan dunia politik pada awal 2020, menjadi heboh Langkah London dan Langkah Jakarta. Kedua-dua Langkah London dan Jakarta muncul sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November 2022.

Langkah Dubai yang sinonim dengan himpunan ahli-ahli politik di Dubai beberapa minggu lalu sekali lagi menjadi tumpuan ramai rakyat Malaysia termasuk ada yang menghadiri program dan majlis menyentuh kepentingan global.

Kesemua langkah itu dikaitkan dengan usaha pihak tertentu untuk menggantikan kerajaan semasa. Spekulasi dan kenyataan terbuka bahawa kerajaan pada hari ini iaitu kerajaan perpaduan yang dibentuk hasil sokongan 18 buah parti dan gabungan serta baru-baru ini beberapa wakil rakyat Bersatu menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, sehingga membawa kepada sokongan lebih 150 anggota Dewan Rakyat, akan tumbang. Andaian ialah tahun baharu 2024 akan diiringi oleh kerajaan baharu.

Kenyataan itu turut menjadi bahan kempen ketika pilihan raya kecil (PRK) kerusi Parlimen Kemaman beberapa minggu lepas. Bahawa calon Perikatan Nasional (PN)-PAS yang juga menteri besar Terengganu akan menjadi calon perdana menteri apabila kerajaan bertukar tangan. Ia menjadi antara bahan kempen utama PRK itu.

Saya juga mendengar desas-desus mengenai Langkah Dubai sejak seminggu lalu. Beberapa kenyataan daripada pemimpin dalam kerajaan dan perkembangan semasa telah membayangkan kewujudan usaha politik terkini itu. Beberapa individu yang dihubungi awal bulan ini semua mengatakan mereka berada di Dubai. Pada awalnya tidak disangka. Bagaimanapun ia berakhir dengan khabar angin yang memberi nama Langkah Dubai.

Desas-desus itu menjadi jelas apabila timbalan ketua pengarah J-KOM mengatakan bahawa wujud usaha menggerakkan Langkah Dubai bagi menggulingkan kerajaan. Lebih awal berbanding Langkah Sheraton yang menggantikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam masa 22 bulan, pada akhir Februari 2020.

Pemimpin-pemimpin PN dengan segera menafikan usaha ke arah itu. Mereka mendakwa ia sebahagian daripada cerita untuk menutup kelemahan kerajaan perpaduan yang berusia 13 bulan. Kerajaan perpaduan meraikan ulang tahun pertama pentadbiran bulan lepas.

Sama ada betul atau tidak wujudnya Langkah Dubai, satu impian yang mahu menggantikan kerajaan semasa, ia memberi gambaran negatif ke atas negara secara keseluruhan.

Meskipun akhir-akhir ini Anwar menegaskan sudah wujud kestabilan, satu pendirian yang mungkin bersandarkan kepada sokongan padu parti-parti yang menganggotai kerajaan dan bertambahnya jumlah anggota Dewan Rakyat yang menyokong pimpinan beliau, tetapi rasa sebenar kestabilan negara dan politik masih belum kelihatan. 

Hakikat itu kita perlu terima.

Selepas PRU15 fasa pertama pada 19 November 2022, masa seharusnya telah dihabiskan untuk membawa negara ke arah kestabilan yang lebih kukuh. Malangnya ia tidak menjadi. Keadaan bertambah merungsingkan apabila hampir sembilan bulan pertama telah dihabiskan untuk politiking melampau dan hanya menunggu untuk melihat hasil pilihan raya umum enam negeri yang diadakan pada Ogos lalu. 

Malah, tempoh itu juga diisi dengan siri kenyataan barisan pembangkang yang mengatakan kerajaan perpaduan bakal tumbang dan akan digantikan oleh kerajaan baharu pimpinan PN. Malah ia berterusan sehingga awal September lalu dan ketika PRK Kemaman, Terengganu awal bulan lalu.

Kini, ia membawa kepada desas-desus mengenai Langkah Dubai.

Kita sudah masuk tahun kedua pasca-PRU15. Sampai bila kenyataan kononnya kerajaan akan tumbang dan usaha menggerakkan ‘langkah politik’ untuk menjatuhkan kerajaan akan dan perlu berterusan?

Ya, pada hakikatnya kerajaan pusat semasa tidak sempurna. Kita perlu akui akan pertama ini. Ada kekurangan tertentu yang memerlukan pembetulan dan penambahbaikan segera. Saya percaya kepimpinan kerajaan semasa sedar akan perkara ini. 

Kesemua pihak perlu memainkan peranan untuk membawa penambahbaikan dengan menggunakan platform dewan perundangan (parlimen) untuk membaiki kekurangan, kelemahan dan jurang yang wujud. Bukannya menggunakan jalan belakang atau laluan tikus politik yang menjadi fokus sejak kebelakangan ini.

Kedua-dua barisan anggota pentadbiran dan pembangkang mempunyai peranan besar dalam hal ini.

Kenyataan bahawa kerajaan akan tumbang dan usaha menggerakkan ‘langkah politik’ tidak akan membawa impak positif daripada segi persepsi orang ramai termasuk orang luar ke atas Malaysia.

Cukuplah empat tahun yang tidak stabil dan tidak produktif. Kita juga telah berpeluang menyaksikan kebolehan dan keupayaan memerintah kesemua parti dan gabungan sepanjang empat tahun lalu.

Kita sudah masuk tahun kedua pasca-PRU15. Masa untuk membawa kebaikan lebih besar demi rakyat. Bukannya sajikan mereka dengan kenyataan demi kenyataan bahawa kerajaan akan jatuh. Sampai bila kita hendak bertindak sedemikian? Rakyat semakin muak.

Jangan sampai rakyat dan pengundi hilang keyakinan ke atas politik, ahli politik dan parti politik.

PRU16 tidak lama lagi. Mungkin dalam dua atau tiga tahun. Jika ada sokongan dan bilangan, kita harus menggunakan PRU16 secara profesional untuk membawa perubahan termasuk membentuk kerajaan berdasarkan hasil sokongan pengundi.

Sehingga itu, hentikan apa jua usaha tepuk atap dan mengeluarkan kenyataan-kenyataan tidak membina bagi negara dan rakyat.

Selamat Tahun Baharu kepada semua! Semoga kita akan dikurniakan kestabilan yang lebih. – 1 Januari, 2024.


 

* Dr G Manimaran ialah bekas wartawan berpengalaman membuat liputan pilihan raya sejak 1991 dan mantan ahli tetap Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC).. Beliau juga penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen