Upko tak akan sokong usaha 'tebuk atap', kata presiden


Presiden Upko Ewon Benedick berkata pembentukan kerajaan perpaduan adalah hasil daripada perundingan yang sah dan ia perlu dikekalkan sehingga tamat tempoh pentadbiran atau Parlimen dibubarkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Disember, 2023.

PERTUBUHAN Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) berpendirian tidak akan menyokong sebarang usaha menggantikan kerajaan perpaduan sekarang secara “tebuk atap”, kata presidennya Ewon Benedick.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu berkata pembentukan kerajaan sedia ada adalah hasil daripada perundingan yang sah dan ia perlu dikekalkan sehingga tamat tempoh pentadbiran kerajaan perpaduan atau Parlimen dibubarkan.

“Selagi saya menjadi presiden Upko, saya tidak akan memberi sokongan kepada mana-mana usaha yang cuba menggantikan kerajaan yang ditubuhkan atau dipilih selepas perundingan dan perbincangan yang sah untuk menubuhkan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Ramah Mesra dan Rumah Terbuka Krimas di Pusat Kebudayaan Penampang di hari ini.

Turut berangkat hadir Yang Dipertua Negeri Sabah Juhar Mahiruddin dan isteri Norlidah RM Jasni serta Ketua Menteri Hajiji Noor.

Ewon yang juga ahli Parlimen Penampang dan Adun Kadamaian yakin perbuatan tebuk atap tidak akan berlaku termasuk di peringkat kerajaan negeri Sabah kerana beliau adalah antara wakil rakyat yang menghalang cubaan menggulingkan kerajaan negeri sebelum ini.

Katanya dalam usaha membangunkan infrastruktur, ekonomi dan tuntutan hak-hak Sabah dalam Perlembagaan Persekutuan memerlukan kestabilan politik negeri dan atas dasar itu sokongan penuh perlu diberikan kepada kepimpinan ketua menteri Sabah.

Upko, yang merupakan sebuah parti dari Sabah, adalah sebahagian daripada parti komponen Pakatan Harapan (PH) bersama PKR, DAP dan Amanah yang membentuk kerajaan perpaduan.

Pada Sabtu lepas, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dilaporkan menzahirkan keyakinannya bahawa percubaan menjatuhkan kerajaan perpaduan menerusi usaha menukar sokongan atau tebuk atap tidak akan berlaku berikutan sokongan padu yang diberikan Sarawak.

Anwar berkata dalam situasi politik semasa, pendirian Sarawak melalui Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu agak kritikal kerana hanya dengan kenyataan dan dukungan parti utama di Sarawak iaitu GPS dan di Sabah iaitu Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang akan memungkinkan perubahan kerajaan berlaku.

Semalam, Setiausaha Agung GRS Masidi Manjun berkata gabungan parti itu kini fokus kepada usaha memulih serta membangunkan ekonomi untuk rakyat dan bukan menggantikan Kerajaan Perpaduan sedia ada melalui cara menukar sokongan atau tebuk atap. – Bernama, 26 Disember, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen