Pemimpin hak sivil senaraikan perkara utama perlu PM lakukan pada 2024


Alfian Z.M. Tahir

Perdana Menteri Anwar Ibrahim diharapkan mula tunaikan janji reformasinya dan perkenal dasar lebih baik untuk ketelusan tahun depan. – Gambar Pejabat Perdana Menteri, 22 Disember, 2023.

TERDAPAT banyak penambahbaikan perlu dilakukan oleh Anwar Ibrahim pada 2024 selepas berkuasa selama lebih setahun, kata pemimpin hak sivil.

Mereka berharap Anwar boleh mula menunaikan janji reformasinya tahun depan dan memperkenalkan dasar lebih baik untuk ketelusan.

Presiden Transparency International Malaysia (TI-M) Dr Muhammad Mohan berkata untuk Anwar mencapai visi menambah baik indeks rasuah negara, Anwar sendiri perlu berani melakukan perubahan.

“Beliau mahu berada dalam kategori 25 Teratas dan untuk mencapai itu kita mesti memenuhi syarat diperlukan. Kita mesti njaringkan gol setiap tahun. Kita tidak boleh berada dalam senarai 25 Teratas jika tidak membuat perubahan yang diperlukan.”

“Sebagai contoh kita mesti asingkan kuasa peguam negara dan pendakwa raya. Peguam negara adalah penasihat kepada kerajaan manakala pendakwa raya melakukan pendakwaan.

“Kita lihat dalam kes yang dibebas tanpa dilepaskan (DNAA) anggota kanan Kabinet, ia memberi tanggapan buruk terhadap kerajaan. Sama ada keputusan itu betul atau salah, kuasa peguam negara dan pendakwa raya perlu diasingkan.

“Kedua, Akta Pemberi Maklumat perlu dikaji semula untuk meluaskan perlindungan. Ada cakap-cakap mengenainya tetapi sehingga hari ini tiada apa yang dilakukan. Perkara lain yang perlu diberi perhatian ialah Akta Perolehan. Kerajaan berjanji akan membentangkannya pada 2024.

“Kita tidak mahu rang undang-undang (RUU) yang lemah, kita memerlukan RUU yang kukuh. Kita juga memerlukan pemerhati bebas dengan piawaian antarabangsa untuk memantau projek berbilion dolar.

“Contohnya skandal projek pembinaan kapal tempur pesisir, jika ada pemerhati bebas, skandal itu mungkin tidak akan berlaku,” kata Muhammad.

Isu lain yang memerlukan perhatian kerajaan ialah Akta Rahsia Rasmi (OSA), katanya.

Beliau berkata perkara berkaitan dengan kepentingan awam mesti didedahkan kepada umum kerana mereka berhak mendapat maklumat.

“Sebagai contoh, projek tol bebas berbilang lorong bernilai RM3.46 bilion perlu dikecualikan daripada OSA. Orang ramai berhak untuk mengetahuinya.”

Muhammad juga berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu diperkasakan.

Beliau berkata Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) perlu diberi kuasa melantik ketua SPRM dan bukannya perdana menteri.

“PSC sepatutnya menasihati Agong, bukannya perdana menteri berhubung calon,” tambah Muhammad.

Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia (Suaram) Sevan Doraisamy pula berkata walaupun melihat penglibatan kerajaan untuk mengkaji semula undang-undang zalim atau cadangan pembaharuan yang sekian lama tertangguh berkaitan hak sivil dan politik, kemajuan konkrit dari segi meminda atau memansuhkan undang-undang serta melaksanakan reformasi amat terhad. – 22 Disember, 2023.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen