Bentuk badan khas persempadanan semula, bebaskan fungsi SPR


G Manimaran

PROSES persempadanan semula bahagian pilihan raya kekal menjadi satu isu dan kembali menjadi isu. Terutama sejak lebih tiga dekad yang lalu. 

Dalam kita bergerak ke arah amalan demokrasi lebih matang, perkara ini tidak seharusnya menjadi satu isu. Perkara ini menjadi lebih serius apabila dikaitkan dengan politik kaum dan agama. Sesuatu yang menyedihkan, tetapi itu yang kita hadapi pada hari ini.

Fungsi undang-undang ini dijalankan setiap 10 tahun sekali mengikut keperluan undang-undang. Tidak boleh kurang atau melepasi tempoh yang ditetapkan oleh kerangka perundangan.

Proses persempadanan semula bahagian pilihan raya merupakan salah satu daripada tiga fungsi utama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Syarat dan keperluan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri.

Urusan kajian semula persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya yang dilaksanakan di bawah peruntukan Perkara 113 (2) Perlembagaan Persekutuan hendaklah disiapkan dalam tempoh tidak melebihi dua tahun dari tarikh Notis Kajian Semula Persempadanan disiarkan.

Walau bagaimanapun, bagi urusan kajian semula persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya yang dilaksanakan mengikut peruntukan Perkara 113 (3A) Perlembagaan Persekutuan iaitu apabila terdapat pindaan undang-undang berhubung bilangan kerusi Dewan Rakyat atau kerusi Dewan Undangan Negeri sebelum cukup lat tempoh lapan tahun, maka kajian semula persempadanan tersebut hendaklah disiapkan dalam tempoh tidak melebihi dua tahun dari tarikh kuat kuasa undang-undang tersebut.

Empat prinsip akan diambil kira dalam melaksanakan urusan persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya adalah seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 2, Bahagian I Jadual Ke-13, Perlembagaan Persekutuan.

Pertama, pemudahan diadakan bagi pemilih-pemilih mengundi semasa pilihan raya dan bahagian pilihan raya tidak merentasi sempadan negeri.

Kedua, mengambil kira kemudahan pentadbiran yang boleh didapati dalam bahagian pilihan raya itu untuk mengadakan jentera yang perlu bagi pendaftaran dan pengundian.

Ketiga, jumlah pemilih yang seimbang bagi setiap bahagian pilihan raya dalam sesuatu negeri kecuali apabila terdapat kesukaran perhubungan dan pengangkutan yang dihadapi di luar bandar, luas bahagian pilihan raya patut diberi pertimbangan. Dan, yang terakhir memelihara hubungan tempatan.

Jika semua pihak berkepentingan iaitu SPR, parti-parti politik dan orang ramai faham akan semangat perundangan yang digariskan dalam Perlembagaan, proses dan hasil kajian semula bahagian pilihan raya tidak harus wujud isu dan masalah.

Perkara ini menjadi isu setiap kali ada proses perlembagaan. Mereka yang berada di pihak pembangkang akan menjadikannya sebagai satu isu. Ia berlarutan sehingga sekarang.

Dan, pihak yang bertindak sebagai pembangkang pada hari menjadikan ia sebagai satu isu. Pihak pembangkang yang pernah menjadikannya perkara itu sebagai isu berada dalam kerajaan selepas menang bertanding di bawah sistem dan bahagian-bahagian pilihan yang diwujudkan.

Dalam erti kata lain, ia sistem, proses dan mekanisme yang digunakan memanfaatkan semua. Sekurang-kurangnya ada keadilan kepada semua.

Kita perlu memberi kepercayaan kepada SPR untuk menguruskan proses persempadanan semula bahagian pilihan raya. Pada masa yang sama SPR perlu bertindak dengan bebas dan profesional tanpa dilihat sebagai memihak kepada mana-mana pihak.

Untuk itu, kita memerlukan pindaan beberapa perkara yang berkaitan dengan proses persempadanan semula bahagian pilihan raya.

Misalnya, syarat yang memerlukan SPR, selaku badan tunggal pengurus pilihan raya, mengemukakan laporan proses persempadanan pilihan raya kepada perdana menteri sebelum dibahaskan di dewan perundangan perlu ikaji dan disemak semula. Untuk mengelakkan persepsi negatif wujud pengaruh pihak eksekutif ke atas SPR dalam menjalankan fungsi mandatorinya.

Pada masa yang sama sudah sampai masa bagi mengadakan sebuah badan khas untuk menguruskan proses persempadanan semula bahagian pilihan raya. Bukannya SPR.

Fungsi melaksanakan proses persempadanan bahagian pilihan raya perlu diserahkan kepada badan ad hoc, dan bertanggungjawab kepada parlimen, bukannya Jabatan Perdana Menteri.

Perkara ini telah disyorkan oleh kami, Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC), kepada kerajaan dalam laporan yang diserahkan pada Ogos 2020. 

Bagaimanapun belum ada tindakan pelaksanaan di pihak kerajaan. Diharap ia akan menjadi kenyataan dan SPR dan pelaksanaan pilihan raya akan dilihat sebagai bebas selengkapnya.

Atau, jika perlu memendekkan tempoh kajian semula iaitu daripada 10 tahun sekarang kepada lima tahun, ia memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri. Ia memerlukan sokongan dua pertiga anggota dewan perundangan.

Selagi kita tidak melakukan sesuatu, selagi itulah persepsi dan kesangsian ke atas SPR dan proses kajian semula bahagian pilihan raya akan berterusan.

Banyak pindaan perlu dilakukan untuk menegakkan keyakinan dan kepercayaan ke atas badan pengurus pilihan raya, dan membuang persepsi negatif. Ia perlu dilakukan dengan segera untuk menoktahkan persepsi tidak sihat dalam pengurusan pilihan raya.– 25 Disember, 2023.

* Dr G Manimaran ialah bekas wartawan berpengalaman membuat liputan pilihan raya sejak 1991 dan mantan ahli tetap Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC).. Beliau juga penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen