Putrajaya perlu dedah butiran perjanjian ditandatangai kerajaan sementara, kata peguam


Noel Achariam

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata Putrajaya perlu mendedahkan butiran 'perjanjian pelantikan' yang ditandatangani oleh kerajaan sementara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Disember, 2023.

PUTRAJAYA sepatutnya mendedahkan butiran “perjanjian pelantikan” yang ditandatangani oleh kerajaan sementara berkaitan penganugerahan lebuh raya sebelum pilihan raya umum ke-15, kata peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla.

Beliau berkata dengan berbuat demikian Putrajaya boleh mendedahkan butiran yang dimasukkan oleh kerajaan Perikatan Nasional-Barisan Nasional ketika itu.

Perjanjian kerajaan sementara itu adalah berkaitan perjanjian melibatkan RM3.46 bilion dengan anak syarikat YTL Holdings Bhd untuk konsesi bagi projek Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) di plaza tol.

Haniff berkata kerajaan sementara berperanan menjaga pentadbiran dan tidak komited dengan sebarang perjanjian yang boleh membebankan kerajaan akan datang.

“Apakah sifat perjanjian itu dan adakah ia mengikat atau untuk rujukan masa depan?

“Adakah kerajaan sekarang terikat sepenuhnya dengan perjanjian itu?” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau turut mempersoalkan liabiliti kerajaan sekiranya projek itu dibatalkan.

“Apa yang berlaku jika kerajaan sekarang membatalkan perjanjian itu? Adakah ia bertanggungjawab untuk sebarang kerosakan?

“Mereka tidak perlu mendedahkan keseluruhan perjanjian, tetapi dapatkan kementerian yang diperlukan untuk menjelaskannya,” katanya.

Haniff berkata dalam keadaan biasa kerajaan sementara tidak sepatutnya memeterai kontrak kerajaan baharu, urusan langsung atau perjanjian dasar.

“Mereka adalah kerajaan sementara dalam tempoh pilihan raya, jadi bagaimana mereka boleh membuat sebarang perjanjian?

“Bagaimana anda boleh membuat sesuatu (perjanjian) yang akan mengikat kerajaan baharu?

“Kerajaan sementara adalah untuk menjaga hal ehwal negara dan tidak terlalu komited dalam perjanjian yang boleh membebankan pentadbiran yang akan datang,” katanya.

Sebelum ini dilaporkan perjanjian plaza tol MLFF oleh kerajaan sementara menimbulkan persoalan etika kerana ia memberi tekanan kepada kerajaan semasa.

Dilaporkan juga 32 syarikat konsesi tol lebuh raya membuat bantahan terhadap tender terus kerana mereka tidak dirujuk dan jumlah kos adalah terlalu mahal sebanyak 30%.

Sementara itu Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi dilaporkan sebagai berkata anugerah untuk projek itu masih belum dimuktamadkan dan kerajaan hanya meluluskan “perjanjian pelantikan” mengenai konsep MLFF pada 17 November tahun lepas selepas kabinet menilai perkara itu.

Rundingkan semula perjanjian itu

Sementara itu Presiden Transparency International Malaysia (TI-M) Muhammad Mohan berkata tiada undang-undang atau garis panduan yang jelas bagi kerajaan sementara untuk memulakan dasar-dasar utama atau komited kerajaan untuk projek mega.

Beliau bagaimanapun berkata secara konvensyen kerajaan sementara tidak boleh mengambil keputusan besar seperti pemberian pekerjaan tanpa tender kepada syarikat sebanyak RM3.46 bilion.

“Kerajaan harus melihat semula perjanjian ini dan berunding semula untuk menyelesaikannya.

“Projek ini harus ditender. Untuk berlaku adil kepada semua pihak, anak syarikat YTL Holding yang merupakan pihak dalam perjanjian itu harus dijemput untuk mengambil bahagian dengan pengendali sedia ada yang lain.

“Kerajaan mesti menunjukkan ia telus dan melakukannya,” katanya.

Muhammad menambah projek itu perlu ditender kerana ia bukan projek proprietari di mana hanya satu sumber sahaja yang boleh menawarkan teknologi ini.

“Teknologi serupa dilaksanakan di Australia dan Singapura jadi ia sepatutnya dibuka kepada pengendali sedia ada untuk turut serta.

“Sepatutnya tiada alasan untuk tidak membuat tender,” tambahnya. – 20 Disember, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen