AGC perlu jelaskan kes tuntutan Sultan Sulu, kata peguam


Noel Achariam

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata peguam negara harus beri penjelasan secara terperinci mengenai kandungan perintah penggantungan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Rayuan Paris pada 12 Julai lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Ogos, 2022.

JABATAN Peguam Negara (AGC) harus mendedahkan kepada umum kandungan permohonan kerajaan Malaysia untuk menggantung anugerah timbang tara AS$14.92 bilion (RM62.5 bilion) kepada waris Sultan Sulu, kata peguam.

Pendedahan itu perlu kerana ia melibatkan kepentingan awam, dan apakah langkah yang telah diambil untuk mengetepikan ‘Final Award’ yang dikeluarkan mahkamah timbang tara Perancis pada Februari, tambah mereka.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla memberitahu The Malaysian Insight, AGC harus beri penjelasan secara terperinci mengenai kandungan perintah penggantungan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Rayuan Paris pada 12 Julai tahun ini.

“Adakah ia hanya menggantung notis dikeluarkan Mahkamah Luxembourg atau adakah juga ia menggantung ‘Final Award’ pada 28 Februari?

“AGC perlu menjelaskan kepada orang awam sama ada kita terdedah kepada pelaksanaan mana-mana bidang kuasa,” katanya merujuk kepada aset-aset Malaysia di luar negara.

Tambahnya, aset-aset milik Malaysia di luar negara berisiko dirampas bergantung kepada skop perintah penggantungan yang dikeluarkan pada 12 Julai.

“Jadi jika skopnya adalah untuk menggantung anugerah yang diputuskan pada 28 Februari, maka kita selamat.

“Bagaimanapun, jika ia hanya untuk menggantung perintah Mahkamah Luxembourg, maka sebaliknya berlaku,” jelas Haniff.

Pada 13 Julai lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata Mahkamah Rayuan Paris sudah membenarkan permohonan kerajaan Malaysia untuk menggantung penguatkuasaan Final Award yang dikeluarkan mahkamah timbang tara Perancis.

Penimbang tara Sepanyol Gonzalo Stampa semasa perbicaraan di mahkamah timbang tara Perancis pada 28 Februari lalu mengarahkan kerajaan Malaysia membayar AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) kepada waris Sultan Sulu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Wan Junaidi Tuanku Jaafar bulan lepas berkata Mahkamah Rayuan Paris sudah membenarkan permohonan kerajaan Malaysia untuk menggantung penguatkuasaan Final Award yang dikeluarkan mahkamah timbang tara Perancis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Ogos, 2022.

Wan Junaidi dalam kenyataan berkata asas kepada keputusan Mahkamah Rayuan Paris adalah Final Award itu akan menjejaskan kekebalan kedaulatan Malaysia.

“Perintah penggantungan itu hasil pelbagai tindakan perundangan yang diambil kerajaan Malaysia bermula dari tuntutan itu yang difailkan bagi menamatkan segala tuntutan dan memastikan agar kepentingan, kekebalan kedaulatan dan kedaulatan Malaysia sentiasa dilindungi dan terpelihara.

“Kesan daripada perintah penggantungan yang dikeluarkan pada12 Julai, Final Award berkenaan tidak boleh dikuatkuasakan di mana-mana negara sehingga keputusan muktamad oleh Mahkamah Paris,” katanya. 

Namun, tambah Haniff, walaupun Final Award tersebut di tidak boleh dikuatkuasakan di mana-mana negara sehingga Mahkamah Paris membuat keputusan muktamad, peguam waris Sultan Sulu mungkin akan memohon di negara lain.

Beliau juga berkata AGC perlu memaklumkan kepada umum bilakah tarikh keputusan muktamad bagi membatalkan prosiding timbang tara dan pembayaran anugerah RM62.59 bilion kepada waris Sultan Sulu.

“Supaya orang awam tahu apa kesudahannya, dan ia bergantung kepada skop perintah penggantungan.

“Wisma Putra boleh mengambil tindakan awal dan beri semua maklumat kepada semua duta kita di luar negara,” katanya.

Bulan lalu, dua anak syarikat Petronas yang berdaftar di Luxembourg, iaitu Petronas Shah Deniz dan Petronas South Caucasus, dirampas waris Sultan Sulu. Dua syarikat itu menguruskan kepentingan gas Petronas di Azerbaijan yang dilaporkan bernilai lebih AS$2 bilion (RM8.8 bilion).

Tindakan tersebut merupakan sebahagian daripada tindakan undang-undang yang dilancarkan pada tahun 2017 oleh waris Sultan Sulu bagi mendapatkan pampasan terhadap tanah di Sabah yang didakwa mereka dipajak oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat perdagangan British pada 1878.

Jelaskan keputusan muktamad penangguhan

Pengarah Pusat Perlembagaan dan Hak Asasi Manusia Malaysia Fahri Azzat berkata, sekiranya Malaysia memperoleh perintah penggantungan, maka Final Award tersebut tidak boleh dikuatkuasakan di mana-mana negara.

“Pelik kalau mereka (AGC) minta penangguhan hanya di Luxembourg. 

“Saya tak fikir anugerah tersebut akan dikuatkuasakan di negara lain. Saya percaya peguam-peguam kita akan mengambil tindakan untuk membatalkan Final Award difailkan di tempat lain,” katanya.

Tambah Fahri, oleh kerana ia melibatkan kepentingan awam AGC harus mendedahkan kepada umum kandungan perintah penggantungan yang dikeluarkan Mahlamah Rayuan Paris.

Beliau yang juga seorang peguam berkata AGC boleh memberi sedikit maklumat mengenai bilakah keputusan muktamad dijangka akan diperolehi.

“AGC harus jelaskan apa tindakan yang perlu diambil dan berapa lama masa yang diperlukan.

“Kita hendak penjelasan daripada AGC berkenaan isu ini. Perkembangan kes ini secara berkala kerana orang awam tertanya-tanya apa kesudahannya,” ujar Fahri.

Bekas peguam negara Tommy Thomas berkata arahan mahkamah Perancis berkenaan tuntutan waris kesultanan Sulu 'menipu dan tidak jujur'. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Ogos, 2022.

Bekas peguam negara Tommy Thomas juga minggu lalu menggesa AGC mencabar arahan mahkamah Perancis supaya membayar AS$14.9 bilion kepada waris kesultanan Sulu yang dianggapnya “menipu dan tidak jujur”.

Bekas peguam negara yang berkhidmat dalam pentadbiran Dr Mahathir Mohamad itu juga berkata, jawatankuasa bertindak tidak perlu ditubuhkan untuk menyiasat isu itu.

“Memandangkan ini terutama sekali satu pertikaian perundangan, peguam negara selaku penasihat perundangan terutama negara perlu diberi ruang mempertahankan kepentingan Malaysia.

“Ia kini dijaga dengan baik. Tidak perlu tubuhkan satu pasukan bertindak khas atau apa juga jawatankuasa.

“Tambahan pula, pertikaian itu sudah pun sampai ke peringkat tinggi pada Julai 2022 sewaktu saya menulis,” katanya dalam satu kenyataan. – 3 Ogos, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen