Speaker betul tolak usul Shafie, wajar benarkan usul Dr M, kata peguam


SPEAKER Dewan Rakyat mengambil tindakan betul menolak notis usul Ahli Parlimen Semporna Mohd Shafie Apdal untuk ketetapan bahawa Dr Mahathir Mohamad mempunyai sokongan majoriti untuk dilantik sebagai perdana menteri, kata peguam.

Seorang lagi peguam bagaimanapun berpendapat walaupun sudah ditolak, keputusan Speaker Mohamad Ariff Md Yusof itu wajar dan boleh diuji di mahkamah bagi menentukan kesahihannya.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla berpendapat keputusan Mohamad Ariff betul kerana Perlembagaan Persekutuan hanya memperuntukkan usul undi percaya atau usul undi tidak percaya terhadap seorang perdana menteri sahaja.

“Sebelum ada usul undi tidak percaya terhadap perdana menteri diluluskan, tidak boleh ada usul undi percaya terhadap mana-mana ahli Parlimen lain,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Jelas beliau, selepas Muhyiddin Yassin dilantik perdana menteri oleh Yang di-Pertuan Agong, sekiranya sokongan majoriti beliau di Dewan Rakyat diragui, usul percaya atau tidak percaya hendaklah dikemukakan terhadap beliau, dan bukannya terhadap ahli Parlimen lain.

Menurut Haniff, Speaker Dewan Rakyat sebaliknya boleh membenarkan satu lagi usul yang dilaporkan oleh media telah dimajukan oleh Ahli Parlimen Langkawi Dr Mahathir Mohamad untuk undi tidak percaya terhadap perdana menteri.

Usul itu dibenarkan di bawah Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan dan harus dibahaskan dan diundi di Dewan Rakyat, katanya.

“Sekiranya usul ahli Parlimen Langkawi diluluskan oleh Dewan Rakyat kelak, maka usul seperti yang dimajukan oleh ahli Parlimen Semporna menjadi relevan.

“Ia relevan untuk tentukan sama ada ahli Parlimen Langkawi mempunyai sokongan majoriti Dewan Rakyat untuk dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong menggantikan ahli Parlimen Pagoh sebagai perdana menteri,” tambahnya.

Semalam, Mohamad Arif mengesahkan menerima maklum notis yang dihantar oleh Shafie, yang juga presiden Parti Warisan Sabah, bertarikh 1 Mei.

Beliau juga sudah membalas surat ketua menteri Sabah itu memaklumkan notis usulnya ditolak.

Mohamad Arif dalam surat penolakannya berkata langkah ahli Parlimen Semporna itu bertentangan dengan Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan “kerana mempertikai kuasa Yang di-Pertuan Aging dalam urusan pelantikan perdana menteri.”

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla berpendapat keputusan Mohamad Ariff betul kerana Perlembagaan Persekutuan hanya memperuntukkan usul undi percaya atau usul undi tidak percaya terhadap seorang perdana menteri sahaja. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Mei, 2020.

Sahkah penolakan Speaker?

Dalam pada itu, peguam Yusmadi Yusoff berpendapat penolakan Speaker Dewan Rakyat perlu diuji di mahkamah bagi menentukan kesahihannya dari segi perlembagaan.

“Dari segi interpretasi perlembagaan, platform yang terbaik ialah Mahkamah Persekutuan. Korum penuh hakim persekutuan boleh diberi peluang untuk memutuskan perkara ini demi mempertahankan kedaulatan Parlimen.

“Ia juga selaras dengan prinsip demokrasi yang bertanggungjawab,” katanya.

Yusmadi yang juga seorang senator berkata walaupun aturan mesyuarat Dewan rakyat menyebut keputusan seorang speaker muktamad, ada duluan kes sebelum ini apabila mahkamah menilai semula keputusan tersebut.

Pada April 2009, Mahkamah Persekutuan membatalkan keputusan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak menggantung bekas menteri besar Zambry Abdul Kadir dan enam exco negeri.

Keputusan itu juga dijadikan duluan oleh Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo mencabar penggantungannya dari Dewan Rakyat oleh bekas speaker Pandikar Amin Mulia, yang didengar pada Oktober 2009.

Sementara itu, Yusmadi mencadangkan agar Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk menjelaskan tatacara penentuan sokongan majoriti terhadap perdana menteri.

Beliau merujuk pada krisis politik Sarawak pada 1966 mengenai sokongan kepada ketua menteri, yang diputuskan oleh mahkamah perlu ditentukan di dewan undangan negeri, dan krisis politik Perak pada 2008 yang diputuskan oleh mahkamah memadai dengan akuan bersumpah wakil rakyat.

Peguam Yusmadi Yusoff mencadangkan agar Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk menjelaskan tatacara penentuan sokongan majoriti terhadap perdana menteri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Mei, 2020.

Isu tidak selesai

Sementara itu, Haniff berpandangan kerajaan yang menggantikan pentadbiran Pakatan Harapan selepas kemelut politik pada hujung Februari lalu akan terus berhadapan dengan isu undi tidak percaya terhadap perdana menteri.

“Sama ada sekarang atau kemudian, undi tidak percaya tetap akan ditampilkan, percayalah,” katanya. 

Beliau melihat legitimasi atau keabsahan kerajaan ini bukan saja menjadi isu dalam kalangan ahli politik, tetapi rakyat juga melihatnya dari sudut moral.

Dewan Rakyat ditetapkan bersidang sehari pada 18 Mei ini untuk pembukaan sidang penggal ketiga Parlimen ke-14 tanpa sebarang soal jawab untuk menteri dan persidangan hanya bagi titah ucapan Yang di-Pertuan Agong serta usul daripada kerajaan.

Sidang Dewan Rakyat itu adalah yang pertama sejak Muhyiddin mengetuai pentadbiran baharu Perikatan Nasional yang menggantikan Pakatan Harapan, susulan langkah politik Bersatu bersama sebahagian ahli Parlimen PKR serta Umno dan PAS pada hujung Februari lalu. – 8 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen