Speaker tolak notis Shafie kemuka sokongan kepada Dr Mahathir


Ariff berkata permohonan Shafie tidak mengikut peruntukan perlembagaan kerana mempersoalkan kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam melantik perdana menteri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Mei, 2020.

SPEAKER Dewan Rakyat Mohamed Ariff Md Yusof menolak notis Mohd Shafie Apdal mengenai usul untuk menunjukkan bahawa Dr Mahathir Mohamad mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen.

Dalam surat hari ini kepada Ahli Parlimen Semporna itu, Ariff berkata permohonan Shafie tidak mengikut peruntukan perlembagaan kerana mempersoalkan kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam melantik perdana menteri.

“Oleh itu, saya menolak permohonan anda untuk usul tersebut diajukan pada sidang,” jelasnya.

Shafie, yang juga ketua menteri Sabah, hari ini mengesahkan menulis surat kepada speaker dewan yang memohon usul itu dibentangkan ketika Dewan Rakyat bersidang pada 18 Mei.

Shafie mengemukakan notis usul bagi menunjukkan Dr Mahathir Mohamad mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen untuk sekali lagi dinamakan sebagai perdana menteri. 

Sementara itu Dr Mahathir juga menghantar notis usul kepada Dewan Rakyat meminta izin untuk memasukkan usul dan resolusi undi tidak percaya terhadap Muhyiddin.

Notis usul bertarikh 4 Mei, yang dilihat oleh The Malaysian Insight, adalah usul kedua atas perkara sama yang dikemukakan kepada Mohamad Ariff.

Dalam notis usulnya, Dr Mahathir mencadangkan Dewan Rakyat membuat ketetapan bahawa Muhyddin tidak mempunyai keyakinan majoriti anggota dewan.

Usul itu jika diluluskan oleh Dewan Rakyat akan menjadikan Muhyiddin, yang juga Ahli Parlimen Pagoh, tidak lagi layak memegang jawatan perdana menteri.

Sama seperti notis usul yang dihantar oleh Shafie, notis usul oleh Dr Mahathir juga dibuat mengikut peraturan mesyuarat yang mensyaratkan ia didahului dengan pemberitahuan kepada Speaker Dewan Rakyat dalam tempoh tidak kurang 14 hari sebelum sidang. – 7 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen