KL rintis pilihan raya PBT: Mengapa tidak!


G Manimaran

Pengerusi DAP Kuala Lumpur Tan Kok Wai cadang kerajaan memulakan pilihan raya tempatan melibatkan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi “merakyatkan demokrasi”. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Disember, 2023.

CADANGAN supaya mengaktifkan semula pilihan raya kerajaan tempatan kembali segar. Semalam, Pengerusi DAP Kuala Lumpur Tan Kok Wai mencadangkan kerajaan memulakan pilihan raya tempatan melibatkan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi “merakyatkan demokrasi”.

Malah menurut ahli Parlimen Cheras itu, pengenalan pilihan raya tempatan di Kuala Lumpur bertujuan untuk kelestarian dan memberi pilihan kepada penduduknya memilih ahli majlis tempatan.

“Dengan pelaksanaan pilihan raya tempatan sudah lama tertangguh, prinsip ‘tiada cukai tanpa perwakilan’ perlu ditegakkan demi memastikan keberkesanan, bersih, dan kerajaan berorientasikan rakyat dan menjadikan Kuala Lumpur bandar raya bertaraf dunia yang kita semua banggakan,” kata penasihat DAP itu.

Beliau menambah, DAP kekal komited dengan pendirian memperkenalkan semula pilihan raya tempatan di Kuala Lumpur sama ada portfolio Wilayah Persekutuan diwujudkan atau tidak.

Awal tahun ini, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming daripada DAP, berkata berdasarkan maklum balas, pilihan raya kerajaan tempatan semula bukan keutamaan rakyat pada masa ini.

“Kami faham pilihan raya kerajaan tempatan adalah cerminan demokrasi. Tetapi kita ada keutamaan. Perkara paling penting bagi saya sekarang ialah memulihkan ekonomi. Kita juga perlu memastikan jalan raya tidak berlubang-lubang, lampu jalan terang, tandas bersih dan longkang tidak tersumbat.”

Bercakap kepada media dua bulan selepas dilantik menerajui kementerian itu, justifikasi beliau yang juga salah seorang naib pengerusi DAP: “Kerja saya bukan untuk fokus kepada keinginan saya, tetapi berdasarkan apa yang rakyat mahu.”

Ng menjelaskan sebaik sahaja masalah asas rakyat diselesaikan, Pakatan Harapan (PH) boleh memperoleh kemenangan mudah apabila tiba masa yang sesuai dan pilihan raya kerajaan tempatan diadakan.

“Terus terang, jika (kita) mahu menghidupkan semula pilihan raya kerajaan tempatan, saya harus memastikan PH boleh menang dengan selesa. Bagaimana kita boleh mencapainya? Kuncinya ialah menjaga rakyat dengan baik terlebih dahulu, dan kamu kemudian boleh mengadakan pilihan raya pada bila-bila masa,” tambahnya.

Pilihan raya kerajaan tempatan ditangguhkan susulan pengisytiharan darurat semasa Konfrontasi Indonesia-Malaysia pada 1964 atas alasan kebimbangan terhadap ketegangan kaum di negara ini.

Pilihan raya yang pernah diadakan untuk Dewan Bandaraya, Majlis Perbandaran, Majlis Tempatan dan sebagainya tidak lagi diadakan dan ahli Majlis dilantik dan bukan dipilih mengikut Akta Kerajaan Tempatan 19764 atau mengikut Ordinan-ordinan Kerajaan Tempatan setiap negeri.

Akta Kerajaan Tempatan kemudiannya diluluskan pada 1976, membawa kepada pemansuhan pilihan raya kerajaan tempatan. Sejak itu sehingga hari ini, pegawai kerajaan tempatan, seperti presiden majlis perbandaran, datuk bandar majlis bandaran dan ahli majlis tempatan, dilantik oleh kerajaan, bukannya menerusi pilihan raya.

Awal 1960-an, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pernah menjalankan fungsi dan tanggungjawabnya yang pernah disenaraikan dalam kerangka perundangan negara.

Walaupun DAP, salah satu komponen PH (antara 2008 hingga 2015 dikenali sebagai Pakatan Rakyat), memperjuangkan supaya pilihan raya majlis tempatan diadakan semula dan juga menyenaraikannya dalam manifesto mereka semasa Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada 2008, ia tidak dimasukkan ke dalam manifesto PH semasa PRU15 November tahun lepas.

Bekas rakan satu pasukan mereka, PAS, berulang kali menentang pilihan raya majlis tempatan diadakan semula dengan mendakwa beberapa bandar didominasi oleh masyarakat Cina, dan kuasa politik orang Melayu akan terus terhakis. Satu andaian yang belum dapat dihujah dengan justifikasi yang kukuh.

Selepas mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang pada 2008, PR pernah mengusahakan langkah bagi merealisasikan idea itu dengan meminta SPR supaya mengadakannya di peringkat negeri itu.

Dalam petisyen yang difailkan di mahkamah satu dekad lalu, kerajaan negeri Pulau Pinang dan  bekas presiden pertubuhan bukan kerajaan, Aliran P Ramakrishnan memohon mendapatkan perisytiharan bahawa Seksyen 15 Akta Kerajaan Tempatan 1976 adalah tidak sah dengan mendakwa seksyen itu terbatal kerana Parlimen bertindak melampaui kuasanya mengikut Perlembagaan Persekutuan apabila menggubal peruntukan itu.

Dalam petisyen itu juga, kerajaan negeri Pulau Pinang dan Ramakrishnan berkata pilihan raya kerajaan tempatan pernah diadakan di George Town pada 1951, yang dikendalikan pihak berkuasa tempatan.

Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang meluluskan Enakmen Pilihan Raya Kerajaan Tempatan (Pulau Pinang dan Province Wellesley) 2012 pada 9 Mei, 2013 dan mewartakannya pada 5 Julai.

Kerajaan negeri Pulau Pinang menegaskan enakmen itu memberi kuasa legislatif secukupnya kepada SPR untuk mengendalikan pilihan raya kerajaan tempatan di Pulau Pinang dan oleh itu, SPR secara sah, diberi kuasa dan perlu mengendalikan pilihan raya kerajaan tempatan di negeri berkenaan.

Lembaran sejarah menunjukkan dua sistem kerajaan tempatan yang berbeza bagi Negeri-negeri Tanah Melayu dan Negeri-negeri Selat telah diperkenalkan dan berterusan sehingga perundangan baharu diwujudkan iaitu Ordinan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan 1950.

Ordinan ini membuka ruang bagi membolehkan pilihan raya diadakan bagi Perbandaran Melaka, George Town dan Kuala Lumpur di samping pelantikkan Lembaga Luar Bandar di Melaka dan Pulau Pinang  (seakan sama dengan Majlis Daerah yang diperkenalkan mulai tahun 1976/77 di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak).

Dengan wujudnya Ordinan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan 1950, Pilihan Raya Majlis Perbandaran telah diadakan di Kota Melaka, Melaka pada bulan November dan di George Town, Pulau Pinang pada bulan Disember 1951. Seterusnya diikuti pula oleh Pilihan Raya Majlis Perbandaran Kuala Lumpur pada 1952.

Selepas PRU14, menteri perumahan dan kerajaan tempatan ketika itu (semasa pentadbiran PH dan kemudian di bawah kerajaan kepimpinan Muhyiddin Yassin), Zuraida Kamaruddin memaklumkan pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan dijangka menelan kos sebanyak RM2 juta bagi setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) dan RM308 juta secara keseluruhannya yang merangkumi 154 PBT sebenarnya merupakan kos sangat minimum.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, menurut beliau, menetapkan sasaran untuk membentangkan usul pilihan raya kerajaan tempatan dalam sidang Dewan Rakyat pada pertengahan 2021. Bagaimanapun status itu tidak diketahui sehingga awal tahun Nga memberitahu ia bukan merupakan keutamaan kementeriannya buat masa ini.

Idea diadakan kembali pilihan raya kerajaan tempatan juga diperjuangkan oleh Parti Sosialis Malaysia (PSM). Menurut parti itu, pilihan raya tempatan dapat menjamin kebertanggungjawaban kerajaan tempatan terhadap rakyat setempat.

Dengan adanya pilihan raya tempatan, ahli majlis tempatan akan bertanggungjawab terus kepada pengundi, dan bukannya kerajaan negeri yang melantik mereka tanpa proses demokrasi, demikain hujah PSM.

“Oleh sebab ahli majlis tempatan sekarang ini dilantik parti pemerintah di negeri masing-masing, ini menyebabkan kebanyakan ahli majlis hanya melakukan tugas mereka sebagai budak suruhan kepada kerajaan negeri, bukannya rakyat tempatan yang sepatutnya menerima perkhidmatan mereka.

“Dengan adanya pilihan raya tempatan, ahli majlis tempatan akan bertanggungjawab terus kepada pengundi, dan bukannya kerajaan negeri yang melantik mereka tanpa proses demokrasi.

“Pengundi juga boleh menukar ahli majlis yang tidak melaksanakan tugasnya secara baik melalui proses pengundian,” kata parti itu.

Suruhanjaya Diraja Penyiasatan Mengenai Pihak Berkuasa di Semenanjung Malaysia yang ditubuhkan pada 1965 di bawah pimpinan Athi Nahappan, dalam laporan yang diterbitkan pada Disember 1968 mengesyorkan setiap ibu kota di Semenanjung Malaysia ditadbir pihak berkuasa tempatan yang terdiri daripada wakil dipilih rakyat, dan ini patut diperluaskan ke tempat lain juga.

Namun, saranan daripada laporan tersebut tidak dipeduli oleh kerajaan pada masa itu. Sebaliknya, Akta Kerajaan Tempatan 1976 menggantungkan semua pilihan raya tempatan.

Negara wajar mempertimbangkan semula pilihan raya kerajaan tempatan jika benar-benar mahu memenuhi empat komponen utama amalan sistem demokrasi.

Aspek pemilihan dan akauntabiliti serta penyertaan dalam proses membuat keputusan perlu diperluaskan. Pilihan raya kerajaan tempatan akan menyediakan ruang dan peluang itu.

Wakil rakyat dewan perundangan – parlimen dan dewan undangan negeri, mempunyai fungsi, tugas dan tanggungjawab lain iaitu di peringkat nasional dan negeri. Mereka mempunyai tugas sebagai penggubal perundangan yang lebih besar.

Perwakilan menerusi pilihan raya kerajaan tempatan akan memperkasakan kuasa setiap rakyat di negara ini, tidak kira agama dan kaum.

Mengapa tidak kira cuba. Sampai bila kiita hendak dibayangi sikap was-was dan bimbang akan hilang kuasa politik. Sekurang-kurangnya mulakan dari ibu negara, yang merupakan nadi kepada perjalanan negara. – 18 Disember, 2023.

* Dr G Manimaran ialah bekas wartawan berpengalaman membuat liputan pilihan raya sejak 1991 dan mantan ahli tetap Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC).. Beliau juga penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen