Semangat bernegara dengan bahasa Melayu


Faisal Tehrani

BARU-BARU ini berlaku keributan melibatkan Kementerian Dalam Negeri khusus Jabatan Imigresen Malaysia bahawa kononnya terdapat dalam kalangan penjawat awam di agensi ini menuntut warga negara yang memperbaharui pasport milik mereka untuk menguasai bahasa Melayu.

Segelintir peguam dan juga aktivis masyarakat mempersendakan dakwaan ini (jika benar terjadi) kerana ia dianggap sebagai tidak mengikut perlembagaan.

Satu perkara yang mungkin dilupakan ramai orang ialah negara tidak sahaja menjadi sebuah negara hanya menerusi Perlembagaan. Negara juga menjadi sebuah negara kerana semangat bernegara.

Sukar untuk saya mendefinisikan semangat bernegara. Akan tetapi kita boleh hujahkan begini, ia adalah hal-hal yang menumbuhkan semangat untuk bernegara dalam kalangan warganya.

Di sesetengah negara, ada semangat untuk bernegara ini datang menerusi acuan atau kerangka. Kalau di Indonesia mungkin ia datang dengan Pancasila.

Di Brunei mungkin ia datang dengan konsep MIB iaitu Melayu Islam Beraja di mana merai dan merayakan bangsawan atau keluarga diraja adalah sesuatu yang mendatangkan semangat membuak-buak buat rakyatnya.

Kalau di Perancis mungkin ia datang dengan motto yang juga tercermin dalam Perlembagaan iaitu pada ungkapan liberté, égalité, fraternité yang bermaksud ‘kemerdekaan, kesetaraan, persaudaraan’.

Ada negara yang semangat bernegaranya tumbuh pada tokoh yang pernah menjadi pemimpin ulung negara tersebut. Afrika Selatan misalnya membanggakan Nelson Mandela, manakala Singapura mendewakan Lee Kuan Yew (bukan sepupu Lim Kit Siang), atau Turki memuja Kamal Attaturk.

Ini bukanlah bermakna tokoh-tokoh ini maksum tetapi mengkritik mereka tanpa sebab musabab kukuh dilihat sebagai satu usaha menjejaskan semangat bernegara. Malah dalam banyak keadaan, maruah negara ada pada sosok ini.

Di Iran, yang menumbuhkan semangat bernegara adalah kebencian kepada kolonialisme seperti terserlah dalam Revolusi Tembakau 1890.

Protes Tembakau ini merupakan satu gerakan ulama Syiah untuk membantah konsesi tembakau yang diberikan oleh raja Iran ketika itu, Nasir al-Din Shah kepada United Kingdom, membolehkan British menguasai pembangunan, penjualan  dan eksport tembakau.

Ia berkuku menjadi kebencian terhadap monarki yang kemudiannya mendorong kejatuhan Shah pada tahun 1979. Ini kerana Shah amat cenderung Barat dan berbaik dengan Israel.

Justeru semangat bernegara Iran terletak pada anti kolonialisme, keinginan untuk melihat Palestin merdeka (kerana masyarakat Syiah percaya yang akan membebaskan negara itu adalah Imam Mahdi) dan juga ketegasan berhijab.

Hal ini bermakna ‘tidak berhijab dilihat sebagai kebaratan dan pembaratan’ justeru satu bentuk representasi imperalisme.

Ada banyak lagi hal yang membaja, mengakar dan memperkasakan semangat bernegara. Di negara kita, semangat bernegara terletak pada Rukun Negara, dan juga Ikrar Bahasa Melayu. Tidak ramai dalam kalangan kita peduli akan kewujudan Ikrar Bahasa Melayu ini.

Untuk memahami kedudukan Ikrar Bahasa Melayu ini saya perlu mengambil sedikit masa kalian iaitu untuk menjelaskan usaha penubuhan Malaya atau negara ini telah berjalan seiring dengan usaha memartabatkan bahasa Melayu.

Dalam hal ini juga, pemartabatan bahasa Mandarin dilihat sebagai sesuatu yang anti semangat bernegara memandangkan dalam tahun 1920an terdapat polisi kerajaan China untuk meluaskan pemilihan Kuo-Yu sebagai bahasa pengantar di sekolah Cina. Ia merupakan dialek orang Cina di sebelah utara China.

Selepas Perang Dunia Kedua, tokoh pendidikan Cina menerapkan polisi ini di Malaya menerusi sekolah yang kemudian dilihat perlahan-lahan sebagai pesaing bahasa Melayu.

Hal ini misalnya pernah diakui oleh Ketua Pegawai Pelajaran Malaya di zaman Inggeris iaitu H.R Cheeseman.

Apabila Cheeseman menjalankan Program Cheeseman 1945-1949, beliau memperkenalkan sekolah-sekolah dengan dwi bahasa iaitu bahasa ibunda Tamil atau Mandarin, dan disokong oleh bahasa Inggeris.

Tidaklah susah atau pecah kepala memikirkan, apabila Malaya merdeka maka seiring itu juga tumbuh hasrat untuk berbahasa Melayu dan menjauhi apa-apa yang ada urusan dengan kuasa kolonial.

Jadi bahasa Inggeris dilihat bahasa penjajah. Manakala bahasa Mandarin dan Tamil dilihat sebagai tidak mewakili (atau mewakili China dan India).

Serentak dengan itu, Jawatankuasa Barnes pada tahun 1951 mencadangkan pula kewujudan sekolah kebangsaan dengan memakai bahasa Melayu dan Inggeris.

Masyarakat Cina memberi reaksi segera dengan Jawatankuasa Fenn-Wu yang diketuai oleh William P. Fenn dan Dr Wu Teh-Yao, masing-masing dari China dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Masyarakat Cina tidak senang dengan usaha menjadikan ’hanya’ Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah dan menuntut supaya bahasa ibunda diajar di peringkat sekolah rendah manakala di peringkat menengah, bahasa Melayu dan Inggeris disandingkan bersama-sama.

Tentulah secara waras kita akan memahami bahawa gerakan kemerdekaan di Tanah Melayu tatkala itu tentu lebih cenderung untuk memartabatkan bahasa Melayu.

Apatah lagi aktivis kemerdekaan merasa iri hati melihat Indonesia melangkah lebih bergaya dengan bahasa Indonesia lebih awal. Maka tidaklah juga menghairankan Jawatankuasa Razak 1956 mewajibkan bahasa Melayu di sekolah.

Hal ini harus diingat berlaku kerana keinginan datuk nenek rakyat Tanah Melayu, tatkala itu agar bahasa Melayu diangkat. Makanya bahasa Melayu menjadi semangat bernegara.

Ia menjadi kenyataan yang tegas dalam Jawatankuasa Rahman Talib pada tahun 1971 di mana Sekolah Kebangsaan diberi perhatian khusus dan disusuli penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan juga Universiti Pertanian Malaysia (UPM).

Untuk memarakkan semangat bernegara, dalam tahun 1960an pula diperkenalkan Bulan Bahasa Kebangsaan yang mana rakyat Malaysia dikehendaki membaca Ikrar Bahasa Melayu atau Ikrar Bahasa Kebangsaan.

Ia berbunyi:

“Bahawa kami rakyat Persekutuan Tanah Melayu mengaku taat dan setia kepada Negara ini dan kami mengaku memuliakan taraf kedudukan Bahasa Kebangsaan negeri ini. Dengan itu kami mengaku akan belajar dan menggunakan serta mengembangkan Bahasa Kebangsaan negeri ini dengan apa cara jua yang menunjukkan kasih dan taat setia kami kepada Negara dan kepada Bahasa Kebangsaan negeri ini. Maka itulah akuan kami dengan sebenar-benarnya.”

Satu waktu dahulu ikrar ini dibaca seperti kita membaca Rukun Negara dan berdiri tatkala menyanyikan Negaraku dan melihat Jalur Gemilang dikibar. Ia adalah apa yang namakan di awal sebagai semangat bernegara.

Maka tidaklah juga aneh dan cacat jika ada agensi kerajaan menuntut semangat bernegara ini daripada rakyat Malaysia.

Tidaklah kontroversi mana pun jika Timbalan Menteri Dalam Negeri Dr Shamsul Anuar Nasarah memberi penegasan bahawa penguasaan Bahasa Melayu kekal menjadi syarat bagi permohonan taraf kewarganegaraan seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Untuk itu beberapa proses saringan dilaksanakan antaranya melalui ujian bertulis, temu duga secara lisan dan bersemuka melalui ujian pengetahuan Bahasa Melayu pemohon.

Permintaan agensi tertentu ini tidak harus dilihat sebagai penjawat awam naik tocang kerana pengaruh Perikatan Nasional. Ini bukan kesnya. Sebetulnya ia adalah sekali lagi diterangkan di sini – semangat bernegara.

Seperti dimaklumi, pemohon kewarganegaraan di bawah Perkara 16 hendaklah mempunyai tahap pengetahuan asas Bahasa Melayu manakala pemohon kewarganegaraan di bawah perkara 19 pula hendaklah mempunyai pengetahuan mencukupi Bahasa Melayu.

Hal yang sama saya percaya terjadi dan berlaku di mana-mana negara pun. Untuk menjadi warga Jerman misalnya haruslah menguasai bahasa Jerman. Tanyalah mana-mana wanita Melayu yang menjadi isteri lelaki Jerman dan perlu berwarganegara ke sana.

Permintaan penjawat awam agar ada dalam kalangan warganegara boleh bertutur bahasa Melayu sebetulnya bukanlah hal yang datang dari planet asing.

Ia mungkin secara teknikal tidak berperlembagaan, tetapi dari segi falsafahnya ia adalah apa yang dinamakan sebagai semangat bernegara. Bahasa Melayu pun tidaklah susah mana.

Eloklah belajar.

Tidak ada salahnya berbahasa ibunda atau berkobar-kobar mempertahankan bahasa tersebut. Tetapi ia harus datang dengan semangat bernegara dengan cara menguasai dan mempertahankan Bahasa Melayu.

Memang dalam dunia hari ini bahasa Inggeris dilihat lebih wibawa, Taylor Swift sang ‘Person of the Year’ majalah Times misalnya menyanyi dalam bahasa itu.

Tetapi menguasai dan menggilai bahasa tersebut, Inggeris, nampaknya juga datang dengan luka sejarah kerana ia adalah bahasa kolonial dan juga seakan menyanggah semangat bernegara.

Tidaklah payah mana pun atau sampai pecah kepala memahami hakikat ini. – 13 Disember, 2023.

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen