ISTIADAT Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia oleh Menteri Persekutuan dijadualkan berlangsung esok di Istana Negara pada 2.30 petang.
Menurut sumber, turut berlangsung adalah Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan.
Pada 1 Disember lepas, Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberi bayangan rombakan Kabinet akan berlaku dalam bulan ini.
Ketika ini, terdapat kekosongan jawatan menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup susulan kematian Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas.
Jawatan itu kini dipangku Armizan Mohd Ali yang merupakan menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas).
Sementara itu portal perniagaan The Edge melaporkan rombakan itu mungkin termasuk pelantikan menteri kewangan II.
Memetik sumber, portal itu melaporkan Amir Hamzah Azizan, ketua pegawai eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dijangka dilantik ke jawatan itu.
Amir Hamzah menyertai KWSP pada Mac 2021.
Menurut laporan itu, antara yang dijangka akan kembali ke kabinet termasuk Johari Abdul Ghani, Gobind Singh Deo dan Dzulkefly Ahmad.
Johari sebelum ini memegang jawatan menteri kewangan II dari Jun 2016 hingga Mei 2018 di bawah pentadbiran Barisan Nasional, manakala Gobind adalah menteri komunikasi dan multimedia semasa pentadbiran Pakatan Harapan Mei 2018-Februari 2020, manakala Dzulkefly menjadi menteri kesihatan.
Satu atau dua menteri juga mungkin tanggungjawab mereka ditukar dengan yang lain, kata sumber itu lagi.
Sementara itu, akhbar Berita Harian melaporkan rombakan itu juga akan menyaksikan perubahan dalam lima kementerian.
Mereka ialah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang tidak mempunyai menteri sejak kematian Salahuddin Ayub pada akhir Julai lalu, Kementerian Kewangan dengan menteri kedua dilantik, dan Kementerian Kesihatan.
PM Anwar juga dijangka membawa balik Kementerian Wilayah Persekutuan.
Sementara itu, dua kementerian lain dijangka terlibat - Kementerian Komunikasi Digital dan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli. – 11 Disember, 2023.
Komen