PERTAMANYA, tahniah diucapkan kepada barisan kepimpinan Kabinet yang baharu khususnya kepada Ahmad Maslan dan Steven Sim yang diberi kepercayaan untuk mengepalai Kementerian Kewangan bersama-sama dengan perdana menteri.
Siapa sangka pemimpin Umno dan DAP akan suatu hari berganding bahu mengepalai kementerian yang paling penting dalam Kabinet.
Saya kira ini suatu petanda lembaran baru politik negara selari dengan semangat sebuah kerajaan perpaduan.
Menyebut mengenai lembaran baharu, saya terpanggil untuk memohon agar pihak kerajaan menimbang semula pelaksanaan sistem cukai GST bagi memastikan ekonomi Malaysia terus mampan dan teguh.
Sistem cukai GST yang dikatakan lebih menyeluruh dan telus berbanding SST, merupakan satu sumber pendapatan kepada kerajaan yang lebih stabil dan dapat mengurangkan kebergantungan negara kepada cukai hasil minyak dan gas.
Sebagaimana kita ketahui, hasil dari sumber komoditi seperti minyak dan gas terlalu banyak bergantung kepada kesan luar kawalan kesan dari keadaan geopolitik dunia.
Bagi memastikan pelaksanaan ini tidak membebankan pengguna khususnya dari segi kesan ke atas harga barangan, kerajaan boleh mempertimbangkan untuk melaksanakan GST pada kadar yang lebih rendah berbanding dahulu sebagai kadar permulaan (kadar 3% misalnya).
Selain itu, kerajaan juga boleh menggunakan pelbagai mekanisma seperti Akta Anti Pencatutan atau Skim Kawalan Harga bagi memastikan kestabilan harga barangan sewaktu proses migrasi sistem percukaian selain mengenakan kadar 0% kepada barangan asas atau kritikal.
Negara memerlukan sistem cukai yang lebih telus dan menyeluruh, selain berfungsi sebagai punca pendapatan yang lebih konsisten ia juga merupakan sistem percukaian yang lebih efektif dalam membantu kerajaan membuat kiraan dan unjuran daripada hasil cukai pendapatan.
Sudah tiba masanya, untuk kita berfikir secara objektif dengan matlamat yang jelas, dan menimbang dengan serius akan pelaksanaan semula GST.
Insya-Allah, dengan pengalaman yang lalu dan mekanisme yang tersedia ada, kita mampu melaksanakan GST dengan lebih efektif dan berkesan kali ini. – 13 Disember, 2022.
* Zaidel Baharudin, naib presiden Muda.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen