Dua TPM, 25 ahli Kabinet angkat sumpah jawatan menteri


Kesemuanya mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara di Kuala Lumpur, hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Disember, 2022.

DUA timbalan perdana menteri dan 25 menteri Kabinet hari ini mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara di Kuala Lumpur.

Turut berangkat pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia Serta Sumpah Simpan Rahsia itu ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan isteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail turut hadir menyaksikan majlis itu. Hadir sama Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani dan Panglima Tentera Udara Jeneral Mohd Asghar Khan Goriman Khan.

Kesemua jemaah menteri itu melafazkan ikrar sumpah jawatan dan taat setia sebelum menandatangani dokumen rasmi pelantikan dengan disaksikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat dan Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali.

Menteri-menteri itu mengangkat sumpah jawatan hari ini susulan pengumuman pembentukan Kabinet baharu malam tadi oleh Anwar yang turut memegang portfolio menteri kewangan.

Pada majlis itu, menteri-menteri itu dibahagikan kepada enam kumpulan dengan kumpulan pertama dimulakan dua jawatan timbalan perdana menteri iaitu Ahli Parlimen Bagan Datuk, Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah serta Ahli Parlimen Petra Jaya, Fadillah Yusof yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi.

Kumpulan kedua terdiri daripada lima orang menteri iaitu Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook yang kembali memegang porfolio Menteri Pengangkutan dan Ahli Parlimen Kota Raja Mohamad Sabu (Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan).

Turut berada dalam kumpulan itu ialah Ahli Parlimen yang pertama kali dilantik ke Kabinet iaitu Ahli Parlimen Pandan, Mohd Rafizi Ramli (Menteri Ekonomi); Ahli Parlimen Teluk Intan Nga Kor Ming (Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan) dan Ahli Parlimen Rembau Mohamad Hasan (Menteri Pertahanan)

Kumpulan ketiga diketuai Saifuddin Nasution Ismail (Menteri Dalam Negeri) diikuti  Ahli Parlimen Kapit, Alexander Nanta Linggi (Menteri Kerja Raya); Senator Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri); Ahli Parlimen Kota Tinggi, Mohamed Khaled Nordin (Menteri Pendidikan Tinggi) dan anggota Kabinet muka baharu, Ahli Parlimen Tanjong Malim Chang Lih Kang (Menteri Sains dan Teknologi). – Bernama, 3  Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen