Agong terima menghadap PM Thailand di Istana Negara


Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menerima menghadap Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin di Istana Negara hari ini. – Gambar Facebook, 11 Oktober, 2023.

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin di Istana Negara hari ini.

Srettha yang tiba pada 12.50 tengah hari meluangkan masa lebih 30 minit di Istana Negara. 

Turut hadir Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, Timbalan Menteri Luar Mohamad Alamin, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Amran Mohamed Zin dan Duta Malaysia ke Thailand Jojie Samuel.

Srettha kini dalam lawatan kerja dua hari ke Malaysia bermula hari ini, dan ia merupakan kunjungan sulung beliau ke negara ini selepas mengangkat sumpah jawatan sebagai perdana menteri Thailand pada 5 September.

Hari ini, Srettha turut dijadual mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim, dan kedua-dua pemimpin dijangka menilai semula kemajuan hubungan dua hala, terutama kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan dan keselamatan sempadan, di samping meneroka bidang kerjasama baharu seperti keselamatan siber, ekonomi digital dan ekonomi hijau.

Pada 2022, Thailand merupakan rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia dan ketiga terbesar dalam Asean, dengan jumlah dagangan sebanyak RM122.03 bilion (AS$27.75 bilion), peningkatan 17.9% berbanding RM97.55 bilion (AS$23.54) pada 2021.

Sementara itu dalam hantaran di Instagram, Istana Negara memaklumkan dalam sesi menghadap yang berlangsung selama 30 minit itu, Al-Sultan Abdullah dan Srettha menyentuh berkenaan hubungan dua hala istimewa yang erat terjalin dan usaha pengukuhan kerjasama antara Malaysia dan Thailand.

Seri Paduka turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Srettha atas pelantikan beliau sebagai perdana menteri Thailand ke-30.

“Seri Paduka turut menzahirkan rasa dukacita kepada Srettha berhubung kejadian tembakan di pusat beli-belah Siam Paragon, Bangkok yang mengorbankan dua nyawa, dan lima yang lain cedera baru-baru ini,” menurut hantaran itu.

Pada 3 Oktober lepas, peristiwa menyayat hati itu berlaku apabila penyerang berusia 14 tahun, menggunakan pistol peluru kapur yang diubah suai, melepaskan tembakan di pusat beli-belah Siam Paragon. – Bernama, 11 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen