Pengajaran di sebalik kekalahan Umno di Kemaman


Mohd Azizi Jaeh

Ahmad Samsuri Mokhtar atau dikenali Dr Sam mempunyai keperibadian teknokrat yang juga merupakan Menteri Besar yang disenangi rakyat Terengganu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Disember, 2023.

HASRAT Umno untuk melakar kejutan atau setidak-tidaknya mengurangkan majoriti kemenangan PAS di Kemaman tidak kesampaian. Kemenangan besar PAS dan gabungannya Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) semacam ‘membakar hangus’ perjuangan Umno untuk come back.

Pengundi Kemaman tekad untuk terus mengukuh penguasaan penuh PAS di Terengganu. Bahkan semenjak PRN Ogos lalu kawasan DUN di dalam Kemaman juga mencatatkan kemerosotan undi BN.

Peristiwa rebahnya Umno menguatkan lagi kesahihan yang PAS semakin kebal apabila mampu membina wilayah tanpa pembangkang di Terengganu.

Tragedi yang menimpa Umno cukup memedihkan ketika momentum kemenangan PRK Pelangai tidak dapat dibawa dan diulangi di Terengganu. PAS akhirnya melengkapkan kedudukan 8-0 bagi kerusi parlimen dan 32-0 bagi kerusi DUN – barangkali mendorong pemimpin dan penyokong PAS senyum kambing!

Boleh dirumuskan kekalahan dengan majoriti 37,220 menandakan Umno kehilangan undi daripada pengundi dan penyokongnya sendiri. Berbanding PRU setahun yang lalu, Umno tewas dengan majoriti 27,179 undi.

Kenaikan berganda majoriti PAS sebanyak 10,041 berpunca daripada kemerosotan undi Umno. Undi diraih PAS sebanyak 64,998 dalam PRK kali ini serta 65,714 pada PRU yang lepas dilihat konsisten kerana ‘angkanya yang tidak jauh’ ditambah pula faktor keluar membuang undi hanya sekitar 65%.

Terengganu kini satu-satunya negeri dalam situasi sifar pembangkang. Peristiwa ini mengulangi sejarah PAS pada tahun 1990 di Kelantan apabila berjaya menidakkan pengaruh Umno.

Tidak hairanlah Terengganu disifatkan sebagai ‘satu lagi jelmaan Kelantan.’

Biarpun PRK ini mengekalkan status quo dan tanpa mengesankan kedudukan kerajaan Persekutuan, namun beberapa senario khususnya pertembungan Umno-Pas perlu diberi perhatian.

Gelombang hijau yang menggila di kawasan dan negeri-negeri Malay heartland sejak November tahun lalu sebenarnya tidak pernah berhenti dan surut. Gelombang itu kelihatan berkesinambungan dan terus mengukuh dalam lingkarannya khususnya di negeri Pantai Timur (Terengganu dan Kelantan) dan Utara Semenanjung (Kedah dan Perlis). PAS adalah aktor utama mengukuhkan tapak dan tiang di negeri yang mereka perintah.

Untuk itu, PAS sering bersifat parokial, menggunakan politik sempit dan cuba mengaut undi dengan mengipas bara perkauman, agama dan anti kepada pembaharuan. Namun political skill ini tidak hanya terpakai dalam konteks PN, tetapi kadangkala parti kerajaan bertindak sedemikian.

Memandangkan kerajaan perpaduan telah menjangkau usia setahun, gabungan PH/BN sepatutnya dapat tembus atau sekurang-kurangnya menjejaskan pangkalan PAS.

Beban yang digalas Umno untuk menawan hati dan minda segmen pengundi Melayu Islam penting dalam memulihkan semula partinya yang kalah tertiarap dalam PRU-15.

PAS seakan-akan telah meletakkan ‘penanda merah’ yang negeri dikuasai mereka tidak boleh dilanggar dan dimasuki oleh parti lawan dengan apa cara sekalipun.

Penandaan pengaruh mengikut negeri dan kawasan merupakan saingan dan anti-tesis kepada PH/BN yang menguasai negeri Pantai Barat dan negeri Selatan.

Kemenangan PAS di Kemaman juga membantu memulihkan PN khususnya Parti Bersatu yang dilanda krisis apabila beberapa ahli Parlimennya mengalihkan sokongan kepada kerajaan Perpaduan dan PMX. Sungguhpun PN kehilangan 5 anggota parlimen, pengaruh dan tarikan PAS kepada pengundi terasnya tidak terjejas di Kemaman.

Kejayaan PAS ini menyebabkan suasana tiba-tiba menjadi anti-klimaks bagi penyokong kerajaan – tatkala mereka sedang teruja melihat sokongan anggota Parlimen PN yang menyokong PMX semakin meningkat.

Kemenangan tersebut memberikan nafas baru kepada PN untuk tampil semula dengan citra bakal kerajaan (government in waiting) dan meyakinkan penyokong mereka yang pertukaran kerajaan tidak hanya berlaku semasa PRU sahaja, tetapi terdapat kaedah-kedah lain yang dibenarkan oleh perlembagaan.

Dengan kata lain, polemik pertukaran kerajaan tidak akan berkesudahan. Parti kerajaan pastinya sentiasa cemas dan berhempas pulas mencaturkan strategi dan rencana untuk bertahan sehingga PRU-16.

Dalam tempoh setahun ini, tiada mana-mana blok parti dapat menguasai sepenuhnya naratif dan middle ground politik Malaysia, sebaliknya pertarungan berlangsung dalam mod yang sengit, ada ketikanya PN mendahului dan menjuarai isu, dan ada ketikanya pula PH/BN menguasai isu untuk menyerang PN.

Bagi penulis, kebangkitan PAS merupakan satu fenomenal jangka panjang. PAS mencapai puncak ini bukanlah impian satu malam. Tetapi ia adalah hasil proses Islamisasi jangka panjang yang telah lama dijalankan.

Ketokohan Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang juga merupakan barisan depan pada setiap kali pertempuran dengan pelbagai taktikal dan pengalaman telah membantu mengukuhkan PAS di tahap ini.

Kebetulan pula Abdul Hadi memiliki anak didik yang juga calon bagi Kemaman iaitu Ahmad Samsuri Mokhtar. Samsuri atau dikenali Dr Sam mempunyai keperibadian teknokrat yang juga merupakan Menteri Besar yang disenangi rakyat Terengganu. Bahkan nama Samsuri menjadi bahan kempen dan promosi selaku bakal Perdana Menteri ke-11 yang akan mencabar Anwar Ibrahim dalam Parlimen nanti.

Kehadiran Shamsuri dalam arena politik Terengganu sejak 2018 telah menenggelamkan aktor dan watak utama Umno dalam politik Terengganu seperti Ahmad Shabery Cheek dan Ahmad Said.

Persoalannya apakah Umno kehilangan arkitek dan tangan untuk membangunkan semula parti itu, bukan sahaja Terengganu tetapi di beberapa negeri-negeri lain?

Apa pun yang berlaku dalam penggal ini, kelangsungan Umno di atas papan catur politik nasional bergantung pada kehebatan yang dipamerkan pemimpin Umno untuk memulihkan negara.

Dalam konteks Terengganu, Umno mesti merampas semula negeri itu untuk meluaskan semula pengaruhnya.

Pengajaran daripada keputusan di Kemaman adalah sejauh mana projek Umno dan PAS dalam mempersiapkan diri untuk PRU16 empat tahun lagi.

Dengan suasana politik dalam tempoh terdekat dan jangka panjang yang sukar diramal, PAS ketika ini berkelebihan berbanding Umno.– 5 Disember, 2023.

* Mohd Azizi Jaeh sedang mengikuti Pengajian Doktor Falsafah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang sains politik. Pengkajian beliau banyak tertumpu pada parti politik dan sejarah politik Malaysia.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen