Singapura bebas 2 lelaki yang ditahan di bawah ISA


Kementerian Dalam Negeri Singapura mengesahkan pembebasan dua rakyatnya dari ISA. – Gambar EPA, 30 November, 2023.

SINGAPURA membebaskan dua warganya daripada tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada Julai 2023, menurut Kementerian Dalam Negeri Singapura (MHA).

“Mereka menunjukkan kemajuan yang baik dalam pemulihan dan tidak lagi menimbulkan ancaman keselamatan yang memerlukan penahanan pencegahan,” kata MHA di laman sesawangnya, hari ini.

Kementerian itu berkata lelaki pertama berusia 51 tahun ditahan di bawah ISA pada Julai 2019 kerana menyokong tegar Daesh yang merancang untuk menyertai kumpulan itu di Syria.

Lelaki kedua berusia 60 tahun yang berlepas ke Turkiye pada Jun 2015 merancang menyeberang ke Syria untuk menyertai kumpulan itu.

Lelaki itu ditahan oleh pihak berkuasa Turkiye dan dihantar pulang ke Singapura dan ditahan di bawah ISA pada Julai 2015.

Kedua-duanya dibebaskan melalui Perintah Sekatan (RO) pada Julai 2023. – Bernama, 30 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen