PERDANA Menteri Anwar Ibrahim tiba di Singapura malam ini bagi lawatan kerja dua hari sempena sesi permukiman pemimpin Malaysia-Singapura ke-10.
Pesawat yang membawa perdana menteri mendarat di Kompleks VIP Lapangan Terbang Antarabangsa Changi pada jam 10 malam.
Perdana menteri disambut oleh Menteri Luar republik itu Dr Vivian Balakrishnan dan Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon.
Turut hadir Menteri Luar Zambry Abdul Kadir dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Azfar Mohamad Mustafar.
Anwar berada di Singapura pada Januari tahun ini bagi lawatan rasmi sulungnya ke republik itu selaku perdana menteri dan pada September lalu beliau menyertai dua sesi khas pada Sidang Kemuncak Asia ke-10 Institut Milken.
Menurut Wisma Putra, Anwar dan rakan sejawatnya Lee Hsien Loong akan membincangkan langkah ke arah meningkatkan hubungan dan kerjasama dua hala, termasuk inisiatif baharu untuk kelancaran kesalinghubungan dan pergerakan rentas sempadan serta kerjasama dalam tenaga hijau.
Ia pertemuan pertama antara kedua-dua pemimpin dalam kerangka permukiman, katanya.
Kedua-dua pemimpin akan menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) dalam bidang keusahawanan dan surat sampingan untuk menambah baik peruntukan dalam Perjanjian Bagi Tabung Pembangunan Perniagaan Malaysia-Singapura Ketiga (MSBDF).
Anwar juga dijadualkan melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden Singapura, Tharman Shanmugaratnam.
Sesi permukiman pemimpin Malaysia-Singapura merupakan mekanisme dua hala peringkat tertinggi antara kedua-dua negara, yang dihoskan secara bergilir-gilir sejak 2007.
Sesi permukiman itu tertangguh sejak 2019 kerana pandemik Covid-19. – Bernama, 29 Oktober, 2023.
Komen