Ekonomi Singapura diunjur berkembang 1.0 hingga 3.0% pada 2024


Ekonomi Singapura dijangka berkembang sebanyak 1.0 hingga 3.0 peratus pada 2024 selepas mengambil kira faktor-faktor global. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 November, 2023.

EKONOMI Singapura dijangka berkembang sebanyak 1.0 hingga 3.0 peratus pada 2024 selepas mengambil kira faktor-faktor global kecuali jika berlaku risiko penurunan, kata  Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI) republik itu.

Dalam satu kenyataan hari ini MTI berkata kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam ekonomi utama seperti Amerika Syarikat (AS) dan zon euro diunjurkan terus perlahan pada separuh pertama tahun hadapan berikutan keadaan kewangan ketat yang berterusan sebelum meningkat secara beransur-ansur pada separuh kedua.

“Pada masa yang sama apabila rangsangan selepas pandemik dalam permintaan untuk perkhidmatan semakin berkurangan, mungkin akan terdapat penyeimbangan semula permintaan terhadap barangan pada tahun yang akan datang.

“Ini di samping normalisasi tahap inventori berkemungkinan menyokong pemulihan dalam aktiviti pembuatan global sepanjang tahun ini. Khususnya permintaan elektronik global dijangka pulih yang akan meningkatkan pertumbuhan kebanyakan ekonomi serantau,” katanya.

MTI berkata di AS pertumbuhan KDNK dijangka sederhana pada separuh pertama 2024 kerana aktiviti ekonomi terus dibelenggu oleh keadaan kewangan yang ketat sebelum meningkat pada separuh kedua sejajar dengan jangkaan pelonggaran pendirian dasar monetari.

Begitu juga pertumbuhan KDNK di zon euro diunjurkan kekal terkawal pada separuh pertama 2024 disebabkan oleh keadaan kewangan yang terhad dan permintaan luar yang lesu sebelum bertambah baik pada separuh kedua dengan sokongan daripada peningkatan penggunaan domestik seiring dengan berkurangnya inflasi.

Berkenaan Asia pula kementerian menyatakan pertumbuhan China diunjurkan kekal perlahan pada 2024 dan rendah berbanding 2023 disebabkan oleh kelemahan dalam sektor hartanahnya. – Bernama, 22 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen