Pusat pemeriksaan darat Singapura dijangka sesak sepanjang cuti Deepavali


ICA berkata terdapat jumlah pengguna yang ramai melalui pusat pemeriksaan darat Woodlans dan Tuas sejak sempadan negara dibuka semula pada 2022, dengan lebih 460,000 lintasan pada 6 Oktober 2023. – Gambar EPA, 6 November, 2023.

PUSAT pemeriksaan Woodlands dan Tuas di Singapura dijangka menghadapi kesesakan lalu lintas mulai Khamis (9 November) hingga Selasa (14 November) pada cuti sempena Deepavali dan permulaan cuti sekolah akhir tahun bagi sesetengah pelajar.

Pihak Berkuasa Imigresen & Pusat Pemeriksaan Singapura (ICA) berkata pusat pemeriksaan itu merekodkan lebih 1.27 juta orang menggunakan pusat pemeriksaan darat itu pada Hari Kanak-kanak dari 6 Oktober hingga 8 Oktober lepas. 

Dalam kenyataan akhbar hari ini, ICA berkata terdapat jumlah pengguna yang ramai melalui pusat pemeriksaan darat itu sejak sempadan negara dibuka semula pada 2022, dengan lebih 460,000 lintasan pada 6 Oktober 2023.

Lebih separuh (kira-kira 260,000) daripada jumlah itu berlepas keluar dari republik itu.

“Mereka yang menggunakan kereta terpaksa menunggu sehingga tiga jam sebelum melepasi pemeriksaan imigresen semasa waktu puncak,” katanya.

Selain itu, ICA turut meningkatkan langkah-langkah keselamatan di pusat pemeriksaan berdasarkan situasi semasa di Asia Barat.

“Berdasarkan keadaan itu, pengguna dinasihatkan supaya mengambil kira masa menunggu tambahan untuk pelepasan imigresen.

“Kami memohon kerjasama pengguna supaya bersabar, mematuhi peraturan lalu lintas, menjaga disiplin lorong dan bekerjasama dengan pegawai di lokasi apabila menggunakan pusat pemeriksaan darat,” katanya. – Bernama, 6 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen