Lebih 300 kanak-kanak Orang Asli berjaya dipujuk bersekolah, kata timbalan menteri


Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying berkata KPM sentiasa memberikan perhatian serius kepada isu keciciran pendidikan dalam kalangan anak-anak Orang Asli. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 November, 2023.

SERAMAI 373 kanak-kanak Orang Asli berjaya dipujuk untuk bersekolah di 15 buah sekolah di seluruh negara sehingga Mei tahun ini, kata Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying.

Beliau berkata Kementerian Pendidikan (KPM) melaksanakan Program Jom Belajar iaitu Program Khas Murid Orang Asli (PROKHAS) dan Chup Badui Sikulah (CBS) khusus untuk memberi akses pendidikan asas kepada kanak-kanak Orang Asli yang tinggal di kawasan pedalaman dan tidak pernah bersekolah.

“KPM sentiasa memberikan perhatian serius kepada isu keciciran pendidikan dalam kalangan anak-anak Orang Asli yang berpunca daripada taraf hidup daif di pedalaman, kekurangan infrastruktur pendidikan dan kemudahan logistik yang sempurna.

“Antara pendekatan diambil KPM dalam menangani isu keciciran murid Orang Asli ialah dengan mengadakan sesi libat urus dan Program Ziarah Kasih bersama-sama komuniti Orang Asli di perkampungan masyarakat Orang Asli,” katanya menjawab soalan Tan Kar Hing (PH-Gopeng) mengenai usaha menyelesaikan isu keciciran kanak-kanak Orang Asli.

Lim berkata KPM juga bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam mengesan keberadaan kanak-kanak Orang Asli yang sepatutnya berada dalam sistem pendidikan tetapi tidak bersekolah.

Selain itu, beliau berkata KPM turut melaksanakan peluasan Program Sekolah Model Khas Komprehensif 9 (K9) dan Program Sekolah Model Khas Komprehensif 11 (K11) dalam usaha menangani isu kehadiran murid Orang Asli yang tinggal jauh di pedalaman dan kawasan terpencil.

Sementara itu, Lim berkata KPM sentiasa berusaha untuk memastikan murid mempunyai peranti bagi menyokong pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang menggunakan teknologi digital di samping mengurangkan jurang digital.

“Namun begitu usaha ini bergantung kepada keupayaan kewangan kerajaan, dalam masa sama KPM sentiasa bekerjasama dengan rakan strategik dari pelbagai agensi kerajaan dan swasta bagi mempercepatkan pemilikan peranti dalam kalangan murid,” katanya.

Beliau berkata antara inisiatif di bawah Teras Empat Dasar Pendidikan Digital (DPD) yang dilancarkan pada 28 November lepas menumpukan penyediaan akses kepada peranti digital untuk setiap murid melalui pelbagai mekanisme.

Beliau menjawab soalan Abdul Khalib Abdullah (PN-Rompin) sama ada KPM mempunyai perancangan tertentu ke arah pembentukan DPD bagi mempercepatkan adaptasi pendigitalan dalam ekosistem pendidikan negara.

DPD terdiri daripada enam teras strategik iaitu Murid Fasih Digital, Pendidik Kompeten Digital, Budaya Kepemimpinan Digital Berwawasan, Pengupayaan Infostruktur dan Infrastruktur, Kandungan Digital Berkualiti dan Rakan Strategik yang Komited. – Bernama, 30 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen