Gejala buli di sekolah belum capai tahap serius, kata guru besar


Angie Tan

Naib Presiden Persatuan Guru Besar Sekolah Cina Malaysia Chew Eng Hock mengakui kes buli jarang berlaku di sekolah rendah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 November, 2023.

GEJALA buli di sekolah masih menjadi kes terpencil dan belum mencapai tahap membimbangkan, kata Persatuan Guru Besar Sekolah Cina Malaysia (MCSH).

Naib Presidennya Chew Eng Hock berkata gejala buli di sekolah terus berlaku berikutan sikap tidak bertolak ansur antara murid.

“Dulu, kami tidak menganggap beberapa tindakan sebagai buli, kerana ia boleh dilihat sebagai jenaka antara rakan. Sekarang orang akan memanggil kejadian ini sebagai buli,” kata Chew.

“Kita juga perlu melihat hubungan antara murid. Contohnya, apabila dua murid berkawan, walaupun anda menolak saya, saya tetap menganggapnya sebagai gurauan, tetapi bagaimana jika ‘mood’ saya tidak baik pada hari itu.

“Saya akan katakan anda membuli saya. Kemudian hubungan kami berdua menjadi renggang dan akan bertambah buruk,” katanya.

Chew mengakui kes buli jarang berlaku di sekolah rendah, namun ia masih belum mencapai tahap tidak terkawal.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying yang berkata terdapat rancangan untuk menambah bilangan guru bimbingan dan kaunseling jika kes buli di sekolah terus berlarutan dan menunjukkan trend peningkatan.

Beliau berkata pembuli mesti diberi bimbingan yang sewajarnya bagi memastikan mereka faham apa yang mereka lakukan itu adalah salah.

“Kaunseling adalah sangat penting,” katanya menjawab soalan Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi (Kuala Kedah-PH) semasa Waktu Soal Jawab Menteri di Dewan Rakyat.

Lim juga berkata berdasarkan data “Sistem Sahsiah Diri Murid” daripada Kementerian Pendidikan, gejala buli di sekolah menunjukkan peningkatan dengan 4,994 kes dicatatkan setakat Oktober 2023, berbanding 3,887 kes tahun lepas.

Chew berkata sekolah sudah melaksanakan langkah pencegahan kes buli dan menyebarkan maklumat yang relevan kepada kanak-kanak untuk mengelakkan kejadian sedemikian.

“Kami mahu murid tahu apabila mereka merasa dibuli, mereka harus beritahu kepada seseorang yang mereka percayai, seperti ibu bapa dan guru.

“Jika mereka takut untuk bersuara, mereka boleh memaklumkan kepada guru melalui rakan mereka.

“murid juga harus melaporkan murid yang membuli orang lain,” katanya.

Chew berkata matlamat kementerian adalah untuk mewujudkan kesedaran mengenai buli dan memastikan tindakan segera dapat diambil untuk menangani gejala tersebut.

Tambahnya, pihak sekolah juga sering mengadakan ceramah tentang gejala buli atau anti buli membabitkan murid.

“Selain aktiviti, guru juga memainkan peranan yang sangat penting. Jika berlaku sesuatu kejadian, guru juga boleh membawanya ke dalam kelas dan berkongsi dengan kanak-kanak,” tambah Chew. – 12 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen