Ahli Parlimen Kuching mahu Parlimen bahas ancaman bom di sekolah


Ancaman bom di sekolah bukan sahaja membabitkan keselamatan pelajar, guru dan kakitangan, malah lebih penting, ia juga mengancam keselamatan negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 November, 2023.

AHLI Parlimen Kuching, Kelvin Yii menggesa Dewan Rakyat membahaskan ancaman bom di sekolah dan mengemukakan usul tergempar kepada speaker berhubung perkara itu. .

Yii berkata walaupun tindakan pembersihan keselamatan (security flushing) bom dilakukan di semua sekolah yang terjejas dan tiada bukti bahan letupan dikesan, isu itu tidak boleh dipandang ringan.

Katanya, perkara itu bukan sahaja membabitkan keselamatan pelajar, guru dan kakitangan, malah lebih penting, ia juga mengancam keselamatan negara.

“Oleh itu, polis harus mengambil semua tindakan yang perlu dan menjalankan secara menyeluruh menjejak dan mengesan punca semua ancaman ini.

“Sekolah sepatutnya menjadi tempat paling selamat untuk pelajar kita belajar dan berkembang. Perbuatan ini bukan sahaja mengganggu kelas, malah sebarang tindakan yang menyasarkan keselamatan anak-anak sememangnya amat keji.

“Tindakan undang-undang paling berat mesti dikenakan kepada pihak tidak bertanggungjawab yang mengancam keselamatan kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan itu.

“Kita tidak mahu menimbulkan panik yang tidak perlu dan mengganggu pendidikan anak-anak dalam proses itu.”

Yii berkata usul itu dikemukakan kepada speaker di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) yang akan membolehkan Parlimen membahaskan perkara itu.

Yii berkata usul itu akan memberi peluang kepada Kementerian Pendidikan memberi taklimat kepada parlimen mengenai prosedur operasi standardnya dalam kes ini.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain semalam berkata polis menerima 37 laporan ancaman bom di sekolah di seluruh negara setakat jam 2 petang, dengan 15 laporan di Selangor, enam di Kuala Lumpur dan Johor, tiga di Pulau Pinang, dua di Perak dan Negeri Sembilan, dan satu di Kedah, Sarawak dan Sabah.

“Kami sudah membuka sembilan kertas siasatan,” kata Razarudin.

Beliau berkata ancaman itu dihantar melalui dua akaun e-mel menggunakan nama “taktstorer”, yang bermaksud “pengganggu ketenteraman” dalam bahasa Jerman dari penyedia perkhidmatan e-mel beeble.com. – 23 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen