Pakar gesa perkasa pendidikan seks, bendung penularan penyakit kelamin


Angie Tan

Pakar berkata sudah tiba masanya pendidikan seksual di sekolah diperkasa bagi membendung peningkatan jangkitan STD dalam kalangan pelajar. – Gambar AFP, 16 November, 2023.

STATISTIK Kementerian Pendidikan bahawa seramai 913 remaja di Malaysia dijangkiti penyakit jangkitan kelamin (STD) bagi tempoh 2018 hingga 2022 membimbangkan dan perlu diberi perhatian serius, kata pakar.

Semasa sidang Dewan Rakyat pada 30 Oktober lalu Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek memaklumkan sebanyak 255 kes direkodkan pada 2018, 225 kes pada 2019, 191 kes (2020), 96 kes (2021) dan 146 kes (2022).

Berdasarkan data Kementerian Kesihatan, penyakit STD yang direkodkan membabitkan remaja ialah sifilis, gonorrhea, syankroid dan Human Immunodeficiency Virus (HIV), katanya.

Mengulas perkara ini, Naib Pengerusi Persatuan Pengkajian Saintifik Seksualiti Kuala Lumpur dan Selangor Tan Hoon Kian berkata sudah tiba masanya pendidikan seks di sekolah diperkasakan bagi membendung peningkatan jangkitan STD dalam kalangan pelajar.

Menurut Tan, pendidikan seks yang diajar di sekolah lebih kepada mengenai organ pembiakan dan cara untuk melindungi diri daripada gangguan seksual.

“Pendidikan seksual di sekolah tidak menekankan aspek pencegahan seperti hubungan seks selamat bagi mengelakkan jangkitan penyakit dan kehamilan yang tidak dirancang,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Tambah beliau, walaupun remaja boleh mendapatkan maklumat dengan mudah menerusi carian di internet tetapi mereka masih perlu memastikan sama ada maklumat tersebut sahih ataupun tidak. 

Pihak sekolah mungkin beranggapan perbincangan mendalam mengenai hubungan seks terlalu sensitif atau keterlaluan, namun sebenarnya terdapat kaedah pengajaran yang betul untuk menerangkannya kepada pelajar, kata Tan.

Sementara itu, seorang pakar kaunseling, Dr Tan Chee Seng bimbang kes penyakit kelamin dalam kalangan remaja akan terus meningkat jika tidak dibendung mulai sekarang.

Ada dua kemungkinan mengapa semakin ramai remaja dijangkiti STD, katanya.

“Pertama, mereka mungkin langsung tidak tahu mengenai STD dan bagaimana penyakit itu boleh berjangkit. Maknanya, mereka cuma tahu hubungan seks akan sebabkan kehamilan.

“Kedua, remaja tahu mengenai risiko STD tetapi bersikap endah tak endah,” jelas beliau.

Dr Tan berkata pendidikan seks di sekolah perlu ditambah baik supaya remaja didedahkan dan memahami tentang penularan penyakit kelamin.

“Mereka perlu diajar supaya hidup menjalani hidup yang sihat, elak hubungan seks sebelum berkahwin malah mereka tidak boleh melakukan hubungan seks dengan sesiapa pun ketika masih bersekolah.

“Penting juga bahawa guru-guru yang mengajar subjek ini diberi latihan yang sewajarnya. Kebanyakan guru malu untuk mengajar dan tidak tahu cara yang betul untuk menyampaikannya,” katanya. – 16 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen