Yahudi dalam kehidupan dan politik Malaysia


Mohd Azizi Jaeh

PADA pertengahan 1980-an media berpengaruh antarabangsa seperti New York Times dan Asian Wall Street Journal pernah menerbitkan laporan yang menggambarkan pendirian kerajaan Malaysia sememangnya anti-Yahudi. Boleh dikatakan, kebanyakan rakyat dan pemimpin negara ini menyimpan perasaan paling meluat dan stereotaip terhadap bangsa Yahudi.

Dalam isu konflik Arab-Israel, reaksi keras tidak hanya datang dari organisasi seperti Umno, PAS dan NGO Islam, bahkan terdapat ahli politik Umno seperti Ustaz Sulaiman Ahmad pernah diberi julukan nama ‘Sulaiman Palestin’ kerana ucapannya yang berapi-api berhubung penindasan Israel ke atas warga Palestin.

Sebut sahaja perkara yang bersangkut-paut dengan Yahudi, Israel dan Zionis, ia menjadi ‘sumber penyatuan’ kepada umat Islam khususnya dalam menyekat ancaman asing – kepercayaan bahawa Yahudi cuba menguasai dunia.

Lagi pula, sentimen anti-Yahudi turut dinaratifkan dalam konteks musuh besar yang mengancam kedudukan Melayu Islam seperti penularan liberalisme, sekularisme dan pluralisme.

Malah teori konspirasi Yahudi sering dikaitkan dengan beberapa parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menerima dana asing serta mendapat latihan dan pendidikan politik.

Tidak keterlaluan nama Yahudi dalam psikologi rakyat Malaysia dianggap sebagai musuh utama sepertimana sejarah Amerika Syarikat dan sekutunya pernah menjadikan komunis sebagai musuh dunia ketika Perang Dingin.

Perlu diingatkan juga, Yahudi, Israel dan Zionis digunakan secara bersilih ganti yang membawa maksud sama dan tiada perbezaan. Sebenarnya tidak tepat!

Dalam konteks yang mudah difahami, Yahudi itu adalah bangsa dan keturunan. Zionis pula adalah gerakan dan ideologi. Israel adalah negara yang didirikan oleh Yahudi Zionis sekarang. Tidak semua Yahudi menyokong pencerobohan kerajaan Israel dan tidak semua Zionis itu di dalamnya adalah orang Yahudi.

Pendek kata, Yahudi dipukul rata dan dianggap sama oleh sebahagian rakyat Malaysia kerana isu penindasannya ke atas Palestin tidak boleh diterima sama sekali dan dikira sensitif.

Biarpun masyarakat Malaysia sebahagian besarnya mungkin tidak berpeluang menemui orang Yahudi secara fizikal sepanjang hidup mereka (kecuali keluar melancong, mengadakan lawatan dan melanjutkan pelajaran di luar negara), tetapi perbuatan mencerca dan memuntahkan kebencian kepada Yahudi dan negara Israel ditunjukkan cukup luar biasa!

Masyarakat Melayu Muslim seolah-olah dilatih dan diasuh untuk menzahirkan rasa marah kepada Yahudi dan meluahkan kesedihan terhadap tragedi yang menimpa masyarakat Arab Palestin yang seagama dengan mereka. Airmata dan doa melatari kehidupan rakyat Malaysia sepanjang beberapa dekad dalam beberapa upacara negara dan demonstrasi yang diadakan berhubung isu Palestin.

Selain itu, solidarti Islam antara yang menjadi sebahagian agenda ummah dalam kehidupan rakyat Malaysia, tidak lain untuk merasai keperitan dan penglibatan secara tidak langsung dalam perjuangan Arab menentang Zionis.

Selain tentangan kuat golongan Muslim. kerajaan Malaysia pernah didesak oleh beberapa negara Arab seperti Mesir untuk tidak mengiktiraf Israel. Meskipun hubungan diplomatik Malaysia-Israel tidak dapat dijalin dan hampir menjadi kenyataan, namun sikap Tunku Abdul Rahman yang terbuka kepada perkara ini mendapat tentangan keras pelbagai pihak yang membuatkan Malaysia ketika itu membatalkan hasrat tersebut.

Meskipun tiada komuniti Yahudi mendiami negara ini, fenomena anti-Yahudi diakui sendiri oleh bekas diplomat Israel ke Asia Tenggara Moshe Yegar yang menyifatkan Malaysia sebagai ‘anti-semitism without Jews.”

Yegar dalam tulisannya menekankan bahawa semasa pentadbiran Mahathir, kenyataan anti-Zionisme dan anti-semitisme yang dizahirkan disifatkan terlalu ekstrem, bahkan Dr Mahathir Mohamad menurutnya telah memupuk semangat anti-semitik yang tebal dalam kalangan rakyat Malaysia yang mana kehidupan masyarakatnya “tanpa orang Yahudi”.

Bahkan Dr Mahathir pernah menggemparkan dunia ketika Persidangan OIC pada 16 Oktober 2003, dua minggu sebelum beliau meletakkan jawatan Perdana Menteri.

Dr Mahathir menyatakan: “We [Muslims] are actually very strong, 1.3 billion people cannot be simply wiped out. The Europeans killed 6 million Jews out of 12 million. But today the Jews rule the world by proxy. They get others to fight and die for them.”

Beberapa peristiwa penting bagi penulis perlu diutarakan dalam membincangkan rencana ini. Pada 1984, kerajaan Malaysia tidak membenarkan persembahan orkestra New York Philharmonic kerana kumpulan tersebut enggan mengeluarkan lagu yang ditulis oleh komposer berdarah Yahudi, Ernest Bloch.

Kerajaan menjelaskan sekatan akan dilakukan terhadap sebarang penggambaran, penayangan dan persembahan muzik yang berasal dari ‘tangan’ Yahudi. Sampai begitu sekali reaksi yang disalurkan ketika itu. Tentangan yang begitu agresif.

Bukan sahaja muzik, pada 1994 kerajaan Malaysia juga mengharamkan sebuah filem berjudul Schindler’s List arahan pengarah Steven Spielberg. Filem ini disifatkan propaganda anti-Jerman yang bertujuan memenangi sokongan orang Yahudi di samping mengandungi banyak unsur keganasan.

Negara yang penduduknya adalah majoriti Muslim seperti Malaysia menganggap bahawa mengangkat tema-tema Yahudi adalah persoalan yang agak sensitif dan alergik.

Satu lagi perkara penting yang mungkin kita terlepas pandang. Individu yang berketurunan Yahudi tetapi mendaftar sebagai warganegara Amerika, manakala individu berketurunan Yahudi tetapi mendaftar warganegara Israel – keadaan dan  situasinya adalah berbeza. Sebenarnya kita hanya tidak membenarkan kemasukan Yahudi yang warganya Israel.

Sebetulnya identiti Yahudi dicairkan dan dikaburkan oleh pembentukan negara bangsa. Yang dilarang hakikatnya adalah negara sahaja, bukan bangsa dalam aspek ini. Tidak menghairankan, jejak dan kelibat orang Yahudi dari semua negara boleh memasuki Malaysia, kecuali Israel. Apatah lagi, individu itu adalah warganegara Amerika.

Boleh lihat Mantan Setiausaha Negara Amerika yang juga merupakan pemikir hubungan diplomasi iaitu Dr. Henry Kissinger merupakan seorang Yahudi. Kissinger biarpun Yahudi tetapi pernah memasuki Malaysia beberapa kali bahkan menemui bekas Perdana Menteri ke-4 dan Perdana Menteri ke-10.

Jelaslah kepada kita, bahawa Yahudi tidak boleh dipisahkan dengan kehidupan sosial dan bernegara, apatah lagi kita juga bebas merujuk buku-buku, teori-teori dan karya-karya seni yang diperkenalkan oleh tokoh Yahudi dalam sistem pendidikan.

Jadi, peristiwa larangan persembahan orkestra muzik dari AS pada 1984 merupakan satu precedent yang unik. – 30 November, 2023.

* Mohd Azizi Jaeh sedang mengikuti Pengajian Doktor Falsafah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang sains politik. Pengkajian beliau banyak tertumpu pada parti politik dan sejarah politik Malaysia.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen